Sedar akan cabaran dalam dunia seni, pendatang baharu Tunku Ines sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan sebelum membuat keputusan bergelar seorang artis.
Bagai Ines atau Tunku Ines Najihah Raden, 21, kritikan atau pandangan sinis orang ramai tidak mungkin boleh memadamkan impian dan minat terhadap dunia nyanyian.
“Sejak kecil saya suka menyanyi dan ini adalah impian saya. Saya serius untuk bergelar penyanyi dan secara peribadi saya berpendapat seseorang perlu melakukan apa mereka sukai.
“Semestinya saya sudah bersedia menjadi penyanyi. Orang boleh bercakap apa sahaja dan saya tidak boleh menghalangnya,” katanya kepada mStar.
Ines berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya berjudul Radar pada Jumaat lalu.
Meminati genre pop rock, penyanyi ini juga cukup mempunyai perancangan jelas membina hala tuju dalam dunia muzik.
Walaupun masih baharu namun Ines tidak mahu lepas tangan dalam menyusun setiap strategi termasuk pemilihan lagu.
“Dalam team saya mereka ada idea sendiri tetapi saya tahu apa diinginkan. Jadi saya perlu ambil tahu dalam setiap keputusan dibuat. Pembikinan Radar juga saya terlibat secara langsung termasuk memberitahu kepada komposer tentang melodi dan lirik yang saya mahukan,” jelasnya.
Bercakap lanjut, lagu tersebut memberi makna cukup mendalam kerana berkaitan dengan pengalaman pernah dilaluinya.
“Menerusi single Radar, saya menjadi diri sendiri malah lagu ini juga ada kena mengena dengan pengalaman saya,” jelasnya. – Agensi
