KIHALI, 16 MAC – Gianni Infantino (gambar-AP) telah dipilih semula sebagai presiden FIFA sehingga 2027 selepas bertanding tanpa saingan di kongres badan induk bola sepak dunia kelmarin.
Peguam Switzerland berusia 52 tahun itu, yang menggantikan Sepp Blatter pada 2016, telah dilantik semula untuk penggal ketiga, sama seperti empat tahun lalu, oleh perwakilan dari 211 anggota persekutuan.
“Saya sayang kamu semua,” Infantino memberitahu perwakilan di ibu negara Rwanda, di mana sistem pengundian tidak mendaftarkan jumlah suara pembangkang.
Sementara statut FIFA kini mengehadkan seorang presiden kepada maksimum tiga penggal empat tahun, Infantino telah menyediakan alasan untuk kekal sehingga 2031, menyatakan pada Disember bahawa tiga tahun pertama beliau menerajui tidak dikira sebagai penggal penuh.
Infantino, yang bersungguh-sungguh mempertahankan penganjuran Piala Dunia tahun lalu di Qatar ketika layanan negara Teluk terhadap pekerja asing, wanita dan komuniti LGBTQ mendapat perhatian, telah menyelia pengembangan Piala Dunia lelaki dan wanita serta peningkatan besar dalam pendapatan FIFA.
Piala Dunia lelaki akan bertambah daripada 32 pasukan kepada 48 untuk edisi seterusnya di Amerika Utara pada 2026, manakala Piala Dunia wanita akan menampilkan 32 pasukan buat kali pertama akhir tahun ini. – AFP
