GENEVA, 3 OGOS – Presiden FIFA, Gianni Infantino akan terus kekal menjawat jawatannya, badan pengurusan bola sepak dunia menegaskan kelmarin, ketika mereka membidas prosiding jenayah dikemukakan oleh Switzerland terhadapnya.
“Tidak ada sebarang alasan untuk membuka penyiasatan kerana tidak ada jenayah yang dilakukan secara dari jauh dan sama sekali tidak ada yang menunjukkan sebarang bentuk kesalahan jenayah,” kata FIFA dalam kenyataan media.
“Presiden FIFA itu akan terus kekal untuk menyambung semula tugasnya dalam FIFA dan menjalankan tanggungjawabnya serta terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di Switzerland dan seluruh dunia.”
Pendakwa khas, Stefan Keller memulakan prosiding pada Khamis lalu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan pakatan antara Infantino dan peguam negara Switzerland, Michael Lauber, pendakwa utama negara itu.
Lauber, yang meletak jawatan pada 24 Julai, bertanggungjawab atas siasatan Switzerland terhadap isu rasuah besar telah tercetus di tengah-tengah FIFA yang berpangkalan di Zurich pada 2015.
Tetapi dia terpaksa mengundurkan diri dari siasatan pada Jun 2019, berikutan pendedahan media bahawa dia telah mengadakan beberapa pertemuan rahsia dengan Infantino semasa siasatan.
Pihak berkuasa Switzerland mengatakan Keller ‘telah membuat kesimpulan bahawa ada petunjuk perlakuan jenayah’ berkaitan dengan pertemuan antara Infantino, Lauber dan seorang pegawai lain, Rinaldo Arnold pada tahun 2016 dan 2017.
“Ini berkaitan dengan penyalahgunaan pejabat awam, pelanggaran kerahsiaan rasmi, membantu pesalah dan menghasut tindakan ini,” kata pihak berkuasa. – AFP
