MANILA, 25 OGOS – Kenaikan harga makanan dan bahan api serta pandemik COVID-19 mendorong hampir 70 juta orang lagi di rantau Asia membangun terjerumus dalam kemiskinan tegar tahun lalu.
Bank Pembangunan Asia (ADB) yang berpangkalan di Manila dalam laporan dikeluarkan Khamis lalu mentakrifkan kemiskinan tegar sebagai hidup dengan kurang daripada AS$2.15 (RM9.99) sehari berdasarkan harga pelarasan inflasi 2017.
“Asia dan Pasifik semakin pulih daripada pandemik COVID-19, tetapi krisis kos sara hidup yang meningkat menjejaskan kemajuan ke arah membasmi kemiskinan,” kata Ketua Ekonomi ADB, Albert Park dalam satu kenyataan.
Bank itu berkata, dianggarkan 155.2 juta orang atau 3.9 peratus daripada penduduk rantau itu hidup dalam kemiskinan tegar pada 2022, 67.8 juta lebih daripada yang sepatutnya tanpa wabak dan kos sara hidup yang lebih tinggi.
Asia membangun merujuk kepada 46 ahli ekonomi baru muncul menjangkau dari Kazakhstan di Asia Tengah hingga ke Kepulauan Cook di Pasifik.
Golongan miskin paling terjejas akibat inflasi yang lebih tinggi kerana kurang mampu membayar harga lebih tinggi untuk keperluan, menyebabkan ramai yang tidak dapat menyimpan wang, membayar penjagaan kesihatan atau melabur dalam pendidikan, menurut laporan itu.
Inflasi melonjak ke paras tertinggi di kebanyakan negara seluruh dunia tahun lalu disebabkan gangguan dalam pasaran makanan dan tenaga.
“Wanita juga mungkin terjejas, kerana mereka cenderung berpendapatan lebih rendah daripada lelaki manakala juga tertakluk kepada kerja tanpa gaji,” menurut kenyataan itu.
Pada Julai, bank itu berkata ia menjangkakan inflasi berkurangan kepada 3.6 peratus tahun ini daripada 4.4 peratus pada 2022.
Walaupun ekonomi Asia yang sedang membangun perlu mencapai kemajuan membasmi kemiskinan, dianggarkan 1.26 bilion orang, atau kira-kira 30 peratus daripada unjuran penduduk di rantau itu menjelang 2030, masih akan dianggap “mudah terjejas dari segi ekonomi”, katanya.
Istilah ini merujuk kepada seseorang yang hidup pada AS$3.65 (RM16.95) hingga AS$6.85 (RM31.80) sehari berdasarkan harga 2017. – AFP


