Saturday, December 21, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inflasi Jepun meningkat 2.7 peratus

    TOKYO, 20 DIS – Inflasi Jepun meningkat pada November, dengan harga naik 2.7 peratus sebahagiannya disebabkan kos tenaga yang lebih tinggi, data kerajaan menunjukkan hari ini.

    Indeks Harga Pengguna teras (CPI), yang tidak termasuk harga makanan segar yang tidak menentu, mengatasi jangkaan pasaran dan meningkat daripada 2.3 peratus pada Oktober.

    Bacaan itu kekal melebihi sasaran inflasi dua peratus Bank Jepun, yang ditetapkan lebih sedekad lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk merangsang ekonomi yang lembap.

    Sasaran dua peratus itu telah diatasi setiap bulan sejak April 2022, walaupun penggubal dasar bank pusat kadangkala mempersoalkan peranan faktor sementara seperti perang di Ukraine.

    Penganalisis telah meramalkan bacaan CPI teras sebanyak 2.6 peratus untuk November. ‘CPI teras,’ yang tidak termasuk harga makanan segar dan tenaga, mencecah 2.4 peratus.

    Harga beras terus melambung tinggi, de-ngan data menunjukkan peningkatan sekitar 64 peratus selepas hasil tuaian tahun ini terjejas oleh cuaca panas dan kekurangan air.

    “Kenaikan harga makanan, termasuk beras, dan pengurangan langkah terhadap musim panas yang melampau, seperti subsidi untuk bil elektrik dan bahan api menyumbang kepada lonjakan inflasi,” kata Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Fumitoshi Sato kepada pemberita.

    Bank Jepun semalam mengekalkan kos pinjamannya dan memberi amaran tentang ketidaktentuan ekonomi AS di bawah presiden pilihan, Donald Trump.

    “Ekonomi domestik tidak cukup kukuh untuk kenaikan kadar faedah yang besar, tetapi mengekalkan status quo berisiko susut nilai yen dan inflasi yang lebih tinggi,” kata Stefan Angrick dari Moody’s Analytics. – AFP

    Gambar fail menunjukkan seorang lelaki berjalan di depan ibu pejabat Bank Jepun di Tokyo. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda