Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inflasi Julai M’sia dijangka susut

    KUALA LUMPUR, 22 Ogos – RAM Rating Services Bhd menjangka inflasi Malaysia turun bagi empat bulan berturut-turut, susut kepada 3.2 peratus pada Julai 2017 selepas menguncup kepada 3.6 peratus dalam bulan sebelumnya.

    Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata unjuran tersebut berasaskan kepada penyederhanaan berterusan tekanan inflasi bahan api dalam keadaan harga bahan api rendah pada bulan itu, sejajar dengan pengurangan kesan asas-rendah.

    “Purata harga runcit RON95 turun kepada RM1.96 seliter pada Julai, melepasi paras rendah RM2.00 seliter pada Jun, dan seterusnya mengurangkan sumbangan komponen pengangkutan kepada inflasi keseluruhan,” kata agensi penarafan itu.

    RAM berkata ia mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan pada 3.8 peratus bagi 2017 dan menjangka makanan dan bahan api pengangkutan kekal menjadi pemacu pertumbuhan keseluruhan harga tahun ini.

    Ia juga berkata keseluruhan kadar inflasi tinggi terutamanya dalam separuh pertama tahun ini dengan kadar purata 4.1 peratus, angka setengah tahun tertinggi sejak separuh kedua 2008.

    Ini dipacu terutamanya daripada kenaikan harga makanan dan pemulihan harga bahan api.

    “Bagaimanapun kami menjangka tekanan inflasi dalam komponen bahan api pengangkutan akan melemah, kerana pertumbuhan kukuh harga bahan api dan sumbangan kesan asas-rendah, yang melonjakkan inflasi keseluruhan dalam separuh pertama 2017, telah mereda,” kata RAM.

    Agensi penarafan itu percaya masih ada ruang bagi kenaikan 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman ke arah penghujung tahun ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda