KUALA LUMPUR, 28 Feb – Inflasi kese-luruhan turun kepada 2.7 peratus pada Januari 2018 disebabkan terutamanya inflasi pengangkutan yang lebih rendah pada 5.7 peratus berbanding 11.5 peratus pada Disember 2017, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan hari ini BNM berkata, meskipun harga purata petrol RON95 tinggi sedikit, RM2.28 seliter, pada Januari 2018 berbanding RM2.27 seliter pada Disember 2017, harga asas RON95 adalah lebih tinggi pada Januari 2017 (RM2.10 seliter) berbanding Disember 2016 (RM 1.90 seliter) menyebabkan inflasi lebih rendah dalam kategori pengangkutan.
Bank pusat juga berkata, inflasi makanan susut kepada 3.8 peratus berbanding 4.1 peratus pada Disember 2017, mencerminkan penurunan inflasi kategori ikan dan makanan laut.
Selain itu, lebihan akaun semasa lebih tinggi pada suku keempat 2017, mencerminkan lebihan barangan lebih besar dan defisit pendapatan sekunder lebih kecil, kata BNM.
BNM berkata, pada masa hadapan, lebihan akaun semasa dijangka terus kukuh, disokong terutamanya oleh akaun barangan.
“Pembiayaan bersih meningkat 7.2 peratus pada Januari 2018 (Disember 2017: 6.9 peratus),” menurut BNM, dengan menambah, terbitan bon korporat terkumpul bersih terus meningkat pada kadar dua angka, sebanyak 16.6 peratus (Disember 2017: 15.4 peratus).
BNM berkata, pinjaman terkumpul sistem perbankan juga naik kepada 4.2 peratus (Disember 2017: 4.1 peratus).
Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat 2.0 peratus pada Januari 2018 (Disember 2017: 1.8 peratus), menurut BNM. – Bernama