LONDON, 16 JULAI – Kadar inflasi di Britain meningkat secara mengejut ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan pada Jun, menurut data rasmi hari ini, sekali gus menambah tekanan terhadap kerajaan dan ekonomi UK.
Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat kepada 3.6 peratus pada bulan lalu, berbanding kadar tahunan 3.4 peratus pada Mei, didorong oleh harga bahan api kenderaan dan makanan yang kekal pada tahap tinggi.
Kadar pada Jun itu merupakan yang tertinggi sejak Januari 2024, menurut ONS, manakala kebanyakan penganalisis sebelum ini menjangkakan tiada perubahan.
Kemas kini inflasi tersebut menyusuli data rasmi terkini yang menunjukkan ekonomi Britain mengecut secara tidak dijangka bagi bulan kedua berturut-turut pada Mei, sekali gus menambah tekanan ke atas Perdana Menteri Keir Starmer dan kerajaan UK ketika negara itu berdepan ketidaktentuan akibat tarif dari Amerika Syarikat.
“Inflasi meningkat pada Jun, didorong terutamanya oleh harga bahan api kenderaan yang hanya mencatat penurunan kecil berbanding penurunan lebih besar pada masa yang sama tahun lalu,” kata Ketua Ahli Ekonomi Sementara ONS, Richard Heys, dalam satu kenyataan.
“Inflasi harga makanan turut meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut, mencecah kadar tahunan tertinggi sejak Februari 2024,” tambahnya.
Sebagai respons, Menteri Kewangan Rachel Reeves berkata, “Masih banyak yang perlu dilakukan bagi membantu rakyat Britain yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.” – AFP
