FRANKFURT, 29 SEPT – Ekonomi Jerman akan menguncup pada 2023 ketika inflasi terus meningkat di sebalik kenaikan harga minyak, kata institut ekonomi terkenal negara dalam ramalan yang disiarkan hari ini.
Kadar kenaikan harga pengguna akan ‘meningkat seterusnya pada bulan-bulan akan datang,’ mencecah 8.4 peratus untuk 2022 pada keseluruhan, kata kumpulan pemikir dalam satu kenyataan bersama.
Inflasi akan terus meningkat kepada 8.8 peratus pada 2023, didorong oleh kenaikan harga bahan api, yang telah naik susulan serangan Rusia ke atas Ukraine, tatkala Moscow mengurangkan bekalan ke Eropah.
Institut yang mengeluarkan anggaran itu adalah Institut Penyelidikan Ekonomi Jerman DIW, Institut Ifo, Institut Ekonomi Dunia Kiel, Institut Penyelidikan Ekonomi Halle dan Institut Penyelidikan Ekonomi RWI Leibniz.
Pada Ogos, inflasi di Jerman mencecah 7.9 peratus, dengan angka baharu untuk September dijangka disiarkan pada lewat hari ini.
Kos tenaga yang tinggi merupakan faktor utama yang ‘mendorong Jerman mengalami kemelesetan,’ kata Torsten Schmidt, ketua penyelidikan ekonomi di RWI, pada sidang media.
Ekonomi terbesar Eropah itu telah pun menyusut pada separuh tahun kedua 2022 ‘sebelum kembali mencatat fasa pemulihan pada awal tahun depan,’ kata Schmidt. – AFP
