Inflasi UK cecah paras terendah

LONDON, 17 JUN – Kadar inflasi tahunan Britain merosot kepada 0.5 peratus pada bulan Mei, tahap terendah dalam empat tahun, selepas nilai pasaran menurun disebabkan oleh pandemik global, data rasmi menunjukkan hari ini.

Kadar inflasi tahunan Indeks Harga Pengguna (IHP) merosot kepada 0.5 peratus bulan lalu daripada 0.8 peratus pada bulan April, kata Pejabat Statistik Kebangsaan dalam satu kenyataan hari ini.

Kadar IHP berada pada 1.5 peratus pada bulan Mac dan pada 2.0 peratus pada bulan Mei 2019 dan kali terakhir dengan 0.5 peratus pada bulan Jun 2016. Inflasi terus merosot bulan lalu walaupun terdapat kenaikan harga minyak.

“Harga global untuk minyak mentah turun merudum dari awal tahun 2020 sebelum pulih sepanjang Mei, walaupun berada di tahap yang jauh di bawah awal tahun ini,” kata ONS.

“Di UK, kenaikan tersebut tidak terlihat ketika lockdown koronavirus berlanjutan.” Faktor lain di sebalik kelembapan inflasi adalah penurunan harga runcit untuk barang-barang rekreasi.

“Kos permainan dan mainan juga turun berbanding bulan lalu sementara terdapat penurunan harga yang berterusan pada bulan Mei, berikutan penurunan harga minyak mentah yang dilihat dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” kata ahli statistik ONS, Jonathan Athow. – AFP