Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Influenza A: Pusat penjagaan kanak-kanak, tadika diseru berwaspada

    KUCHING, 10 OKT – Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menyeru semua pusat penjagaan kanak-kanak dan tadika di negeri itu terus berwaspada serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan ekoran peningkatan kes influenza A di sekolah.

    Menteri kementerian itu Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pengusaha serta guru taska dan tadika perlu meneruskan langkah pencegahan harian seperti mengambil suhu kanak-kanak dan memeriksa tangan, kaki serta mulut mereka sebelum dibenarkan masuk ke kelas.

    “Jika kanak-kanak menunjukkan simptom penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) atau demam, ibu bapa mesti dimaklumkan serta dinasihatkan membawa anak mereka ke klinik untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan langkah pencegahan dan kawalan penularan Penyakit Seperti Influenza (ILI) di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata langkah itu termasuk pengedaran surat pemakluman berhubung garis panduan pencegahan penularan jangkitan ILI pada 6 Oktober, selain kerjasama antara KPM dengan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau perkara itu.

    Semalam, KKM memaklumkan sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025 berbanding 14 kluster pada minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda