Influenza dipantau

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Seramai 6,274 pesakit yang menghidap penyakit yang serupa dengan influenza atau influenza like-illness (ILI) telah mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan di negara ini sejak Disember 2019 berbanding 5,163 orang dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Peningkatan jumlah pesakit mengidap ILI itu diperoleh berdasarkan pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan mengenai situasi penyakit influenza di Negara Brunei Darussalam secara berterusan sejak tahun 2009 yang meliputi kadar jumlah pesakit yang menghidap ILI dan pesakit yang menghidap jangkitan pernafasan akut yang teruk atau severe acute respiratory infection (SARI) yang dirawat di hospital-hospital kerajaan.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya yang diterima hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak merasa cemas dan panik.

Analisa terhadap virus influenza yang dikesan daripada pemantauan itu tidak menunjukkan sebarang tanda kemunculan virus influenza baharu dan tidak ada kaitan dengan SARI di Bandar Wuhan, China atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Selain itu, keadaan yang berlaku di Negara Brunei Darussalam adalah serupa dengan keadaan yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara-negara lain dalam rantau Asia Tenggara, Asia Selatan dan Amerika.

Influenza adalah jangkitan virus dengan tanda-tanda utama seperti demam selesema atau flu, sakit tekak, batuk dan tanda-tanda lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan merasa lesu.

Demam selesema sangat mudah berjangkit yang boleh merebak melalui titisan respiratori seperti hingus dan air liur yang terkeluar semasa seseorang itu bersin, batuk, bercakap atau bernafas.

Virus influenza bermusim (seasonal influenza) hanya menyebabkan demam selesema yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asma (ampus) dan lain-lain.

Orang-orang yang berisiko tinggi khususnya seperti yang disebutkan di atas adalah amat digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza bermusim (seasonal influenza vaccine).

Selain itu, sebagai langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan influenza, termasuk mana-mana pihak yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan diri, membasuh tangan menggunakan air dan sabun, atau hand sanitizer, tidak bergaul dengan orang yang sedang menghidap flu dan amal cara hidup sihat.