Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Jalan alternatif, satu lorong dua hala (single carriageway) yang menghubungkan Jalan Telanai dengan Jalan Dadap telah mula dibukakan kepada orang ramai bermula 9 pagi hari ini.
Pembukaan jalan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Projek bernilai $4.9 juta itu merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RKN10) yang mula dibina pada Mac 2016 dengan dikendalikan oleh Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya.
Jalan alternatif sepanjang 3.2km tersebut dibina bagi menyediakan laluan pintas buat para pengguna jalan raya terutama penduduk di sepanjang Jalan Gadong dan Jalan Dadap serta sekitarnya di samping membuka peluang perkembangan sosioekonomi di kawasan berkenaan.
Jalan baharu berkenaan turut dilengkapi dengan lampu isyarat di persimpangan Jalan Telanai, lampu jalan, tanda-tanda jalan serta beberapa persimpangan yang menghubungkan simpang-simpang yang sedia ada di sepanjang jalan tersebut termasuk pusing keliling di persimpangan Jalan Dadap.
Sejurus selepas pembukaan jalan alternatif tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi berserta rombongan dari Kementerian Pembangunan seterusnya menyusuri jalan berkenaan sebelum meneruskan program lawatan ke tapak projek pembinaan jejambat di persimpangan Jalan Utama Mentiri dan Jalan Penghubung Tanah Jambu yang merupakan projek di bawah RKN11 yang sedang giat dilaksanakan.
Projek yang menelan belanja kira-kira $19.9 juta berkenaan melibatkan pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu dari persimpangan Jalan Muara ke Jalan Utama Mentiri kira-kira 2km panjang dan pembinaan dua buah jejambat yang merentasi Jalan Utama Mentiri melalui Jalan Pancur bagi kemudahan penduduk perumahan Mengkubau dan jejambat merentasi Jalan Muara untuk menuju ke Lebuhraya Muara-Tutong yang mana projek tersebut dijangka siap pada Julai 2021.
Lawatan Yang Berhormat Menteri Pembangunan kemudiannya diikuti dengan peletakan batu asas bagi pembinaan jejambat di persimpangan Jalan Muara di mana Yang Berhormat Dato turut berkesempatan mendengar taklimat ringkas daripada pemangku pengarah jalan raya mengenai ringkasan dan status perkembangan projek.
Selepas majlis peletakan batu asas berkenaan, Yang Berhormat Dato seterusnya beredar ke lokasi seterusnya bagi pembukaan jalan keluar dan masuk yang telah siap dibina iaitu dari hala kawasan Perumahan Mengkubau keluar menuju ke pusat bandar melalui jejambat di persimpangan Jalan Utama Mentiri yang sedia ada.
Dengan pembukaan jalan keluar dan masuk berkenaan, dijangka akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusing keling Jalan Kota Batu dan Jalan Utama Mentiri yang sering berlaku terutama pada waktu puncak.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.