Ramai antara kita menganggap padi sebagai tumbuhan yang hanya boleh ditanam di kawasan sawah yang digenangi air.
Ini kerana jenis padi yang paling biasa kita temui padi berbiji panjang yang hidup di kawasan tanah rendah boleh dianggap sebagai tumbuhan separa akuatik, meskipun secara teknikalnya ia ialah sejenis rumput.
Padi tanah rendah mungkin sukar untuk ditanam di kebun rumah, namun terdapat satu lagi varieti padi yang kurang dikenali dan lebih mudah ditanam dalam keadaan laman belakang rumah yang biasa.
Padi Duborskian, sejenis padi tanah tinggi berbiji pendek dari Rusia, ialah tumbuhan yang sangat menarik dan boleh ditanam dalam pasu.
Tangkainya yang setinggi dua kaki dengan warna hijau keemasan akan menyerikan bahagian tengah atau belakang susunan tanaman bercampur.


Namun jika ditanam sebagai tanaman makanan, menanam padi sendiri boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan bagi penggemar berkebun yang berani mencuba sesuatu yang baharu.
MULAKAN DENGAN MENYEDIAKAN RUANG
Ketika menentukan bilangan pokok yang ingin ditanam, ambil kira bahawa kira-kira 10 pokok padi diperlukan untuk menghasilkan satu paun (0.45 kg) beras.
Memandangkan setiap pokok hanya memerlukan satu kaki persegi ruang taman, petak seluas 10 x 10 kaki boleh menampung 100 pokok, yang akan menghasilkan antara enam hingga 10 paun beras dalam satu musim.
Jika awda tidak membeli anak pokok, benih boleh disemai terus di kebun pada bulan Mei atau Jun, asalkan kawasan tersebut bebas fros.
Di kawasan lain, benih harus disemai di dalam rumah empat minggu sebelum risiko fros berakhir. Benih biasanya bercambah dalam tempoh lima hingga tujuh hari.
Merendam benih selama 24 jam sebelum disemai akan mempercepatkan proses percambahan. Untuk semaian dalam rumah, gunakan alas pemanas untuk hasil yang lebih baik.
Anak benih yang berusia empat minggu boleh dipindahkan ke luar rumah apabila tiba masa yang sesuai untuk menanam tomato, lada benggala atau terung di kawasan awda.
PENJAGAAN TANAMAN PADI
Pilih kawasan yang mendapat cahaya matahari penuh dan perkaya tanah dengan kompos dalam jumlah yang banyak sebelum menanam.
Disebabkan padi memerlukan banyak nutrien, baja serba guna yang seimbang perlu digunakan setiap dua minggu.
Jarakkan pokok satu kaki antara satu sama lain untuk memastikan peredaran udara yang baik, kerana pendebungaan berlaku melalui angin.
Awda juga boleh memasang jaring di sekeliling pokok bagi melindunginya daripada burung.
Pastikan tanah sekeliling bebas daripada rumpai sepanjang musim pertumbuhan.
MEMISAHKAN BERAS DARIPADA SEKAM, DAN LANGKAH-LANGKAH LAIN
Padi awda akan sedia untuk dituai dalam tempoh lebih kurang 105 hari. Tanda padi sudah matang ialah apabila tangkai benih kelihatan kering tetapi masih belum gugur sendiri.
Pada tahap ini, potong pokok sehingga ke paras tanah dan gantung batangnya selama beberapa hari untuk dikeringkan.
Namun, itu bukanlah penghujung proses. Butir beras perlu dipisahkan daripada batangnya dan setiap biji beras mempunyai kulit luar keras yang dikenali sebagai sekam yang perlu dibuang.
Di ladang komersial, kerja ini dilakukan dengan mesin khas, tetapi jika awda menanam di rumah, awda perlu lakukannya secara manual. Ikat hujung batang yang telah dipotong, kemudian letakkan penapis (penapis tingkap lama pun boleh digunakan) di atas kereta sorong.
Gosok bahagian tangkai benih pada penapis tersebut sehingga butiran beras jatuh ke dalam kereta sorong.
Jika kaedah ini terlalu rumit, awda juga boleh pukul ikatan batang ke atas kain bersih yang dibentangkan di atas tanah untuk mendapatkan hasil yang sama.
Setelah beras dipisahkan daripada tangkainya, kumpulkan dan buang sekamnya secara berkelompok menggunakan lesung dan alu (boleh libatkan anak-anak juga!). Jika tiada lesung dan alu, awda boleh guna pengetuk getah, tetapi perlu berhati-hati agar tidak menghancurkan biji beras.
Langkah seterusnya ialah memisahkan beras sebenar daripada sekam. Kaedah paling mudah ialah menggunakan kipas untuk meniup sekam yang ringan dan berterbangan.
Sekam tidak boleh dimakan, tetapi boleh dimasukkan ke dalam timbunan kompos atau dijadikan penutup tanah.
Jika awda ingin menyimpan benih untuk ditanam pada tahun hadapan, asingkan sedikit sebelum membuang sekam, kerana benih perlu kekal utuh untuk bercambah semula.
NIKMATI HASIL USAHA AWDA
Untuk menikmati hasil titik peluh awda, masak beras seperti biasa dan gunakan dalam resipi manis atau savouri. Rasanya pasti enak, walaupun mungkin tidak seenak kisah unik tentang pengalaman menanam padi sendiri yang boleh awda kongsikan nanti. – AP

