Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Seorang pemilik gim didenda $5,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah meneruskan operasi gimnasiumnya meskipun arahan penutupan telah dikeluarkan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Denda terhadap Harun bin Haji Ahmad, 55, yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 62A (2) Akta Penyakit Berjangkit, Penggal 204 diputuskan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman yang turut memerintahkan hukuman satu bulan penjara sekiranya gagal membayar.
Majistret Hajah Ervy dalam memutuskan hukuman mempertimbangkan sebab-sebab di sebalik arahan Kementerian Kesihatan iaitu untuk mengamalkan penjarakkan sosial sejajar dengan tujuan mengurangkan jangkitan COVID-19.
Keputusan hukuman turut mengambil kira kecuaian tertuduh sebagai faktor yang memburukkan.
Meskipun bersimpati dengan kewangan perniagaan tertuduh yang turut menerima kesan daripada COVID-19, Majistret Hajah Ervy menyifatkan tindakan tertuduh itu boleh memberi kesan buruk dan memanjangkan tempoh penutupan.
“Rakyat dan peniaga perlu mematuhi arahan dan nasihat Kementerian Kesihatan kerana mereka sahaja yang boleh menilai keadaan semasa pandemik di negara ini, yang mana keutamaan mereka adalah untuk melindungi penduduk dan negara ini daripada terus dijangkiti virus.
“Mereka yang gagal mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan akan menghalang perkembangan dalam meme-rangi penyakit ini, yang bukan sahaja membahayakan diri mereka tetapi juga negara secara keseluruhannya,” kata Majistret Hajah Ervy sambil menambah, hukuman berat adalah perlu untuk kesalahan ini.
Fakta kes menyebut, laporan ke Talian Nasihat Kesihatan dibuat orang awam yang menerima maklumat mengenai gim yang masih beroperasi di mana sesiapa yang ingin menggunakan gim, boleh masuk melalui pintu hadapan walaupun pintunya ditutup. Siasatan di gim berkenaan turut menemukan buku log harian yang merekod kemasukan pengguna gim antara 19 dan 26 Mac 2020.
Pendakwaan terhadap tertu-duh dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalilah binti Hussin.
Pejabat Peguam Negara bersama agensi penguatkuasaan yang berkaitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati melanggar arahan Kementerian Kesihatan yang meminta kesemua kemudahan awam, termasuk gimnasium, pusat senaman, dewan sukan, pusat boling dan padang golf ditutup buat sementara waktu bermula 19 Mac 2020 sejajar dengan langkah-langkah lain yang diambil untuk mengekang penyebaran jangkitan COVID-19 di negara ini.
Sesiapa yang didapati tidak mematuhi arahan ini dan mana-mana arahan lain yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, boleh didakwa dan dikenakan denda sehingga $10,000 dan penjara enam bulan.
Orang ramai dialu-alukan untuk melaporkan apa jua kebimbangan berkaitan aktiviti yang bertentangan dengan arahan Kementerian Kesihatan ke Talian Nasihat Kesihatan 148 atau menghubungi hotline polis 993.