BEIJING, 14 JUN – Lionel Messi kelmarin mengesahkan dia ‘tidak fikir’ bahawa dia akan bermain dalam satu lagi Piala Dunia semasa temu bual dengan media China, selepas pemain berusia 35 tahun itu membawa Argentina meraih kemenangan pada kejohanan tahun lalu di Qatar.
“Saya telah mengatakan beberapa kali sebelum ini bahawa saya tidak fikir begitu, bahawa itu (2022) adalah Piala Dunia terakhir saya,” katanya ketika ditanya oleh Titan Sports China dalam temu bual video jika dia mungkin akan beraksi pada kejohanan 2026 di Amerika Utara.
“Saya akan melihat bagaimana keadaannya tetapi secara teori saya tidak fikir saya akan berada di sana untuk Piala Dunia akan datang,” tambahnya dalam bahasa Sepanyol dalam video yang diterbitkan pada aplikasi Kuaishou.
Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu kini berada di Beijing di mana Argentina akan bermain perlawanan persahabatan menentang Australia esok.
Komennya dibuat selepas dia berkata pada awal tahun ini kepada akhbar Argentina, Ole bahawa ia akan menjadi ‘sangat sukar’ untuk bermain di Piala Dunia yang lain.
Dia akan berusia 39 tahun semasa kejohanan akan datang.
Messi minggu lalu mengumumkan akan menyertai kelab Inter Miami selepas perjanjian dua tahun dengan Paris Saint-Germain berakhir.
Argentina akan menentang Australia pada perlawanan persahabatan esok di Stadium Pekerja yang mempunyai kapasiti 68,000 orang di Beijing.
Perlawanan itu adalah ulangan perlawanan 16 terakhir antara pasukan di Piala Dunia di Doha, yang dimenangi Argentina 2-1.
Dengan peminat China terdesak untuk melihat bekas bintang Barcelona itu beraksi, tiket telah habis dijual dengan pantas walaupun ia dijual pada harga sehingga 4,800 Yuan (AS$671). – AFP


