Saya hadir ke sebuah majlis perkahwinan hujung minggu lalu, dengan niat meraikan hari bahagia pasangan mempelai iaitu sepupu saya sendiri. Namun, apa yang berlaku agak mengejutkan – majlis tersebut seakan-akan bertukar menjadi sebuah pertandingan karaoke terbuka.
Sejak saya melangkah ke rumah tersebut, lagu-lagu kuat berkumandang bukan sahaja tanpa henti, tetapi juga dengan suara-suara nyanyian yang jelas bukan daripada penyanyi profesional. Hampir setiap tetamu mengambil giliran, ada yang menyanyi lagu rock 90an, ada yang ‘berjiwa’ dengan lagu jiwang lama dan ada juga yang hanya menjerit-jerit tanpa rentak yang jelas.
Suasana majlis yang sepatutnya dalam keadaan harmoni, tenang dan penuh kegembiraan berubah menjadi hingar-bingar hingga pada satu tahap, menyesakkan halwa telinga.
Sebilangan tetamu warga emas dan ibu bapa dengan anak kecil mula beredar awal, barangkali tidak tahan dengan bunyi muzik yang membingitkan atau tidak selesa dengan suasana terlalu meriah tanpa kawalan.
Sebagai pemerhati, saya tidak menentang hiburan dalam majlis. Lagu, muzik dan kegembiraan itu wajar diraikan — tetapi haruslah disesuaikan dengan tatacara majlis.
Majlis perkahwinan adalah simbol permulaan kehidupan baru dua insan, ia bukan pentas hiburan semata-mata. Saya berharap selepas ini, penganjur dan tuan rumah lebih peka.
Jika mahu hiburan karaoke, letakkan ia dalam slot masa tertentu, bukan ketika majlis kahwin. Ingatlah, ini majlis kahwin, bukan karaoke!
Tijah







