TOKYO, 24 MAC – Andres Iniesta mengatakan beliau telah membayar cukai tambahan yang tertunggak di Jepun disebabkan kegagalannya untuk mengisytiharkan sebahagian daripada pendapatannya, tetapi mendakwa bahawa beliau juga telah mengisytiharkan pendapatan tersebut di Sepanyol.
Pemenang Piala Dunia dari Sepanyol, Iniesta, yang menghabiskan lima tahun bersama Vissel Kobe Jepun sehingga 2023, didapati gagal mengisytiharkan kira-kira 860 juta yen (AS$5.7 juta) pendapatan untuk tahun 2018, menurut penyiar awam NHK dan media lain.
Jika kontrak pemain asing adalah kurang daripada satu tahun dan mereka tidak ditemani ahli keluarga, pihak berkuasa Jepun mengklasifikasikan mereka sebagai bukan pemastautin dan mereka membayar cukai yang lebih rendah daripada pemastautin, kata laporan, memetik Agensi Cukai Negara.
Biro cukai wilayah Osaka menilai bahawa pada 2018, Iniesta adalah seorang pemastautin kerana dia tinggal bersama ahli keluarganya dan berada dalam kontrak berbilang tahun.
Susulan itu, dia telah diberikan permintaan cukai tambahan berjumlah kira-kira 580 juta yen.
“Pada fiskal 2018, saya melaporkan pendapatan saya dari seluruh dunia kepada pihak berkuasa percukaian di Sepanyol,” kata Iniesta dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui syarikat pengurusannya.
“Pihak berkuasa percukaian Jepun memulakan siasatan dengan memberi tumpuan kepada status kediaman saya di bawah peraturan cukai dan membuat kesimpulan bahawa saya adalah pemastautin (di Jepun) pada sebahagian tahun 2018,” katanya dalam kenyataan yang diperoleh AFP, hari ini. Iniesta kini telah membayar cukai tambahan yang dituntut, kata kenyataan itu.
“Oleh itu, pendapatan semasa tempoh itu tadalah di bawah pembayaran cukai dua kali,” katanya, menambah bahawa beliau telah menuntut lebihan bayaran cukai dikembalikan berdasarkan perjanjian dua negara mengenai pembayaran cukai dua kali. – AFP


