Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif bantu warga tempatan tambah pendapatan

    Oleh Lyna Mohamad –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Kawasan lapang di samping Seri Qlap Mall tidak lama lagi akan menjadi tempat baharu untuk orang ramai daripada semua lapisan masyarakat terutamanya keluarga untuk bersantai sambil menikmati makanan dan suasana.

    Ketika tempat itu masih menjalani lebih banyak persiapan, beberapa usahawan tempatan telah mengambil kesempatan daripada musim cuti sekolah pada masa ini dengan memulakan operasi mereka.

    Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) dan Naib Presiden Dewan Perniagaan Kebangsaan Brunei, Haji Abdul Rahman bin Haji Sirat dari Jerudong adalah antara yang terawal mula beroperasi.

    Menurutnya, tempat itu diuruskan oleh DPPMB melalui badan koperasinya bagi membantu usahawan tempatan menjalankan perniagaan di tempat yang lebih strategik dan membantu mereka membina ekonomi.

    “Saya sudah lama berkecimpung dalam perniagaan makanan ini di mana saya mula beroperasi dari rumah dan kemudian saya menyewa gerai di Gadong Properties namun keuntungan tidak mencukupi untuk menampung bayaran sewa dan kami memutuskan untuk menutup perniagaan tersebut.”

    Awang Abu Bakar menjalankan perniagaan sate secara turun temurun. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD

    Tempat ini disediakan oleh kerajaan untuk DPPMB bagi menjalankan aktiviti perniagaan makanan dan minuman dan dibuka kepada usahawan tempatan untuk turut serta membantu ekonomi mereka.

    “Saya terlebih dahulu memindahkan gerai kontena saya ke tempat ini dan Alhamdulillah dua usahawan yang lain mengikut jejak langkah saya dan kemudian kami mula beroperasi pada 11 Disember lalu.”

    Beliau menambah bahawa beberapa anggota koperasi yang lain telah menyokong inisiatif ini dan menyediakan penjana kedua untuk bekalan kuasa, dengan syarat-syarat tertentu, manakala penjana utama disediakan oleh pihak koperasi.

    Tempat itu akan dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan lain seperti lampu, projektor untuk anak-anak muda bersantai sambil menonton siaran perlawanan secara langsung dan ruang kecil untuk kanak-kanak menunggang skuter atau rollerblade mereka serta kem yang akan menjadikan tempat itu lebih meriah.

    “Saya berharap lebih ramai orang akan datang dan menyokong inisiatif ini, sama ada sebagai pengendali atau pelawat dan ini adalah peluang yang baik terutamanya untuk belia dan pesara untuk mengambil bahagian dan mencari rezeki.”

    Pesara polis yang kini sedang menjalani cuti pencen wajib, Awang Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman berkongsi bahawa beliau ditawarkan untuk menyewa gerai oleh ahli keluarganya bagi menjana pendapatan sampingan selain daripada menerima pencennya.

    Awang Abu Bakar tidak asing lagi dalam perniagaan makanan kerana sepanjang zaman bekerja, beliau sekeluarga menjalankan perniagaan sate secara tempahan memandangkan beliau masih bekerja ketika itu.

    “Respons setakat ini adalah baik. Kami mempunyai ramai pengunjung yang datang sama ada untuk menjamu selera dengan ruang terbuka atau makanan bawa pulang ketika kami mula beroperasi dari jam 4:30 petang hingga tengah malam dan terdapat banyak makanan kegemaran tempatan yang ditawarkan oleh gerai yang mengambil bahagian di sini.”

    Mempunyai latar belakang keluarga secara turun temurun yang berkecimpung dalam industri makanan khususnya sate, beliau telah menguasai resipi keluarga dengan baik sekali gus membolehkannya menjalankan perniagaan berkenaan.

    “Kami berterima kasih kepada DPPMB kerana memberikan kami peluang ini dalam membantu kami mencari rezeki sekarang kerana saya tidak lagi bekerja. Bagi mereka yang mempunyai bakat atau minat, ini pastinya akan menjadi platform untuk awda memulakan perniagaan dan membantu awda dalam kehidupan seharian.”

    Sementara itu, Dayang Nuramni Hafiyah binti Abdul Wahab dari Lambak Kanan turut membantu ibu bapanya mengembangkan perniagaan makanan mereka yang hanya menjalankan aktiviti tersebut pada Jumaat dan Ahad di Pantai Meragang.

    Walaupun ibu bapanya tidak berminat kerana mereka bimbang tentang bagaimana perniagaan itu akan berjalan, beliau berjaya meyakinkan mereka dan menggalakkan mereka untuk berani menjalankan perniagaan mereka di tempat yang lebih strategik.

    Baginya, peluang ini tidak boleh dilepaskan sebagai seorang yang masih mencari pekerjaan untuk membantu menyara keluarga. Beliau juga merupakan seorang yang berani mengambil risiko kerana beliau percaya bahawa kita perlu cuba melakukannya sebelum memikirkan perkara lain kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

    “Kami bermula hanya dengan beberapa makanan dan minuman seperti ais kepal, pelbagai jenis makanan goreng dan potato twist, tetapi secara beransur-ansur jika semuanya berjalan lancar, kami akan menambah lebih banyak menu ke senarai kami.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda