Friday, July 5, 2024
27.2 C
Brunei

    -

    Inisiatif bariga kesedaran kanser kanak-kanak

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 30 JUN – Sebagai usaha membarigakan kesedaran kanser dalam golongan kanak-kanak serta isu-isu kesihatan kritikal yang lain kepada orang ramai, Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) bersama sukarelawan dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah menjayakan Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak, Talasemia, Obesiti dan Anemia Kekurangan Zat Besi, pagi tadi.

    Dengan membawakan tema Bersama Kita Lebih Kuat, acara berkenaan telah diadakan di Dewan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

    Menurut kenyataan yang diberikan YASKA, acara berkenaan direka untuk memberikan penerangan tentang isu kesihatan mendesak yang melibatkan kanak-kanak, menyaksikan pasukan profesional perubatan yang berdedikasi termasuk pegawai perubatan, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu bekerjasama untuk membuat perubahan.

    Tumpuan acara adalah pengiktirafan kanser kanak-kanak sebagai cabaran kesihatan awam penting yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak dan komplikasi kesihatan jangka panjang dalam kalangan mangsa yang terselamat.

    Selain itu, inisiatif berkenaan bertujuan untuk mengetengahkan isu kesihatan yang boleh dicegah seperti anemia (kekurangan zat besi) dan obesiti, menyokong amalan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan yang berkesan.

    Acara berkenaan telah menampilkan pelbagai program, termasuk risalah maklumat dan poster yang menangani kebimbangan kesihatan kanak-kanak merangkumi kanser, anemia, obesiti, dan talasemia; kempen menderma darah, pengukuran BMI, kuiz-kuiz yang menawarkan hadiah, dan aktiviti rekreasi yang bertujuan untuk mempromosikan kesedaran kesihatan dan penyertaan masyarakat.

    Pelaksanaan acara berkonsepkan riadah yang inovatif menggunakan dewan masjid itu diharap lebih mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam sama-sama mengimarahkan keindahan masjid sebagai tempat penyebaran ilmu.

    Antara orang ramai yang mengikuti kuiz dan aktiviti permainan semasa acara berkenaan yang berlangsung di Dewan Masjid Hassanal Bolkiah. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...