Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif baru dalam memperkasa penerapan SPN21

    Oleh Danial Norjidi

     

    WAWASAN 2035 bermatlamat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang dikenali dengan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi menurut standard kebangsaan tertinggi dan mempunyai kualiti hidup antara 10 negara teratas di dunia serta mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan.

    Lapan strategi telah dikenal pasti bagi mencapai matlamat-matlamat ini termasuk strategi pendidikan yang bermatlamat untuk “mempersiapkan belia-belia untuk menempuhi alam pekerjaan dan pencapaian di zaman yang semakin berdaya saing dan berdasarkan pengetahuan.”

    Sistem pendidikan Brunei iaitu Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) mengenal pasti keperluan untuk mempersiapkan rakyat Brunei yang berdaya saing dalam menghadapi cabaran sosial dan ekonomi di abad ke-21 ini.

    Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman pada 15 Februari lalu mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah membuat tiga perubahan dasar dari segi kurikulum dan penilaian dalam struktur sistem pendidikan serta sistem vokasional dan teknikal dalam menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan SPN21.

    Yang Berhormat Pehin juga memetik sebahagian daripada titah Kebawah Duli semasa sambutan Hari Guru 2016 yang berbunyi; “Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) perlu membangun dan berfungsi sejajar dengan program negara, iaitu sebagai dasar rancangan pembangunan negara dalam pendidikan.”

    Yang Berhormat Pehin berkata, bagi menguatkan pelaksanaan SPN21, beberapa inisiatif telah dilakukan untuk mempertimbangkan beberapa perubahan besar. Dalam aspek pertama, daripada segi perubahan dalam kurikulum dan penilaian, salah satu inisiatif yang baru dilaksanakan adalah Penilaian Standard dan Prestasi Guru bagi Guru-Guru Brunei.

    Selain itu, satu usaha sedang giat dilakukan bagi mempertingkatkan sistem peruntukan dan rangka kerja campur tangan (Intervention framework) dalam literasi kebangsaan dan standard nurmerasi. Usaha ini turut melibatkan beberapa pakar kurikulum dalam pelaksanaan projek termasuk jurulatih dan pemimpin sekolah antarabangsa.

    Yang Berhormat Menteri menekankan bahawa penglibatan mereka dalam memberikan pandangan dan rundingan mengenai kaedah-kaedah pedagogi dan program-program yang dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pelajaran adalah sangat penting.

    “Ini bukan saja dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Peperiksaan GCE ‘O’ Level khasnya dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik, tapi jurulatih antarabangsa juga akan membantu kementerian dalam pengurusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang telah di sebar luaskan kepada seluruh sekolah, masyarakat umum dan ibu bapa.

    “Program ini akan dilaksanakan dalam tahun 2018 bagi memastikan kecekapan para pelajar pada tahap antarabangsa melalui penyertaan program PISA.”

    Pada masa yang sama, pembetulan dan perubahan telah dibuat bagi sistem pendidikan rendah dan menengah untuk meningkatkan keberkesanan Literasi Kebangsaan dan Standard Numerasi, termasuk mengadakan kurikulum bersepadu bagi tahun satu dan tiga.

    “Peningkatan kurikulum bersepadu di sekolah rendah diharap akan dapat mempersiapkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran yang telah diterapkan dalam peringkat pendidikan awal,” tambah yang Berhormat Pehin. “Ini semestinya akan menjadi satu kelebihan bagi mereka di sekolah menengah.”

    Dasar pemahaman

    Yang Berhormat Pehin mengumumkan bahawa Penilaian Sekolah itu telah digabungkan di semua sekolah, bukan saja untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman kepada para pelajar, tapi juga “untuk memberikan kemahiran yang lebih berfokus kepada pemahaman tahap pemikiran yang lebih tinggi termasuk peningkatan analisis penerapan (increasing application analysis) dan penilaian penglibatan pelajar dalam kerja praktikal, projek-projek, pembentangan dan aktiviti pembelajaran yang lebih cenderung kepada ‘pendidikan berorientasikan kualiti, dan bukan sekadar mengajar dan belajar untuk peperiksaan sahaja.

    “Sementara itu, dari aspek perubahan struktur pendidikan, pelajar-pelajar yang lebih cenderung kepada kemahiran praktikal akan disalurkan kepada pembelajaran yang bersesuaian bagi mengelakkan pelajar daripada terus terbantut sekali gus berhenti sekolah. Mereka akan diberikan beberapa pilihan pendidikan.”

    “Dari aspek perubahan pendidikan vokasional dan teknikal serta inisiatifnya, ia melibatkan perubahan dari Jabatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional kepada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE),” tambah Yang Berhormat Pehin. “Antara lain, ia juga melibatkan penamaan Pusat Latihan IBTE kepada Pusat IBTE dan Satelit IBTE.”

    Taklimat dari Menteri Pendidikan berkenaan Penunjuk Utama Prestasi Kebangsaan juga disampaikan oleh Awang Sharizal bin Haji Embran, Ketua Strategic Enterprise Performance and Delivery Unit (SEPADU).

    Beliau menyentuh mengenai inisiatif kementerian dalam Wawasan 2035 yang melibatkan peningkatan jumlah guru-guru yang berkemahiran tinggi dan institut pendidikan.

    Ia juga melibatkan pembangunan profesional Akademi Guru Brunei Darussalam (BDTA) yang berterusan untuk memperbaiki kaedah pengajaran, termasuk penilaian bagi menyediakan para pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran abad ke-21.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda