Oleh Sim Y. H. & Norhamizan Haji Mosbi
BANDAR SERI BEGAWAN,14 OKT – Dalam usaha bagi meningkatkan langkah-langkah membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini, Bahagian Pelesenan dan Percukaian, Jabatan Bandaran Tutong telah mula melaksanakan Program Ujian Swab menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 ke atas semua peniaga gerai, pasar malam dan pasar ikan di bawah kawalan Jabatan Bandaran Tutong pada 11 Oktober lalu.
Menurut Jabatan Bandaran Tutong, inisiatif itu merupakan usaha jabatan berkenaan dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan orang ramai dan peniaga-peniaga yang terlibat dalam tempoh penularan wabak COVID-19 ini.
Seramai 80 orang peniaga berserta pembantu telah menjalani ujian dalam program yang dilaksanakan selama empat hari berturut-turut hingga hari ini yang berlangsung di Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong.
Dalam pada itu, inisiatif serupa juga telah dijalankan oleh Jabatan Daerah Temburong bagi peniaga-peniaga di Tamu Sementara, Pekan Bangar, Temburong.
Seramai 16 orang peniaga telah menjalani ujian menggunakan kit ART COVID-19 berkenaan, kelmarin, yang dikendalikan oleh Unit Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Temburong
Dalam hubungan itu, para peniaga gerai, pasar malam dan pasar ikan dan juga orang ramai juga diharapkan untuk sama-sama memberikan kerjasama khususnya pengunjung-pengunjung untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan yang ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan sosial, mengimbas kod QR dan pemakaian pelitup muka apabila memasuki bangunan-bangunan berkenaan serta akan menjaga kebersihan kawasan pada setiap masa.