Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif CEAB latih pekerja tempatan dihargai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menyatakan penghargaan kepada Persa-tuan Perusahaan China di Brunei (CEAB) dalam memberikan latihan untuk memastikan tenaga kerja Brunei Darussalam bersedia untuk bekerja dan dilengkapi dengan kemahiran industri.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato menyatakan penghargaan kepada CEAB yang ditubuhkan pada 18 Julai 2016, kerana memberikan peluang-peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peluang-peluang pekerjaan kepada warga tempatan termasuk memberikan mereka latihan khusus.

    Yang Berhormat Dato menyatakan perkara berkenaan ketika menghadiri Forum Ekonomi Tahunan bertajuk Mutual Support & Overcoming Challenges Together, yang berlangsung di Bank of China (Hong Kong), Cawangan Brunei, Kampung Kiarong, kelmarin.

    Forum itu dianjurkan oleh CEAB dengan sokongan Bank of China (Hong Kong), Cawangan Brunei dan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam.

    Semasa sesi dialog itu, Yang Berhormat Dato turut menyampaikan pandangannya mengenai landskap ekonomi tempatan pada masa ini dan menerangkan bagaimana pelaburan langsung asing terus boleh memainkan peranan mereka dalam pertumbuhan ekonomi Brunei serta pembangunan industri-industri utama iaitu industri hiliran minyak dan gas, makanan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelancongan dan perkhidmatan.

    Terdahulu, Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dalam ucapannya menyeru ahli-ahli CEAB untuk terus meneroka peluang-peluang perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew (dua dari kanan) dan PYT Yu Hong (dua dari kiri) ketika menghadiri Forum Ekonomi Tahunan di Bank of China (Hong Kong), Cawangan Brunei, Kampung Kiarong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda