Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Kursus Sains Sukan Tahap 1, Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) 2018 anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah bermula hari ini di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB) Berakas.
Kursus sehingga 2 Mac itu dikendalikan oleh Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan, JBS dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia.
Kursus itu merupakan satu program yang terkandung dalam peranan Unit Kejurulatihan dan Pembangunan, JBS dengan objektif supaya jurulatih sukan, pegawai sukan, ahli sains sukan, guru jasmani dan individu berminat dalam kejurulatihan sukan mendapatkan kelayakan yang diiktiraf.
Selain itu, ia juga bagi menaikkan taraf profesional para peserta, khususnya dalam bidang sukan dengan ilmu kejurulatihan sukan dengan cara yang betul dan lebih berkesan melalui prinsip dan kaedah sains.

Di sepanjang kursus lima hari itu, para peserta akan mengikuti sesi teori dan amali selama empat hari sebelum menduduki ujian pada hari kelima.
Tajuk-tajuk yang dipelajari para peserta termasuklah Falsafah Sukan, Kompetensi Kejurulatihan, Anatomi dan Fisiologi Sukan, Perubatan Sukan, Psikologi Sukan, Suaian Fizikal, Biomekanik, Tingkah Laku Motor dan Permakanan Sukan.
Para tenaga pengajar pula adalah terdiri daripada para instruktor profesional dari Akademi Kejurulatihan ISN Malaysia iaitu Ravi Margapandu, Dr Chin Ngien Siong, Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr Mohd Zin Bidin, Nursyaditina Ain binti Darussamin, Dzul Fikar Awang Anak, Dr Pathmanathan K. Suppiah, dan Profesor Madya Dr Nik Shanita Safli.