Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad kelmarin menjelaskan Jabatan Muzium-muzium melalui Akta Perintah Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam telah mewartakan 27 tapak bersejarah, merangkumi 15 monumen dan 12 makam diraja, yang diiktiraf berdasarkan nilai sejarah, seni bina, budaya dan ekonomi. Namun, tidak semua bangunan ini berada di bawah pentadbiran Jabatan Muzium-muzium tetapi tetap tertakluk kepada akta yang ditetapkan.
Yang Berhormat Dato di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2025, yang telah memasuki hari kelapan kelmarin yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis antaranya menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan berhubung perancangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi memulihara dan memelihara bangunan-bangunan bersejarah yang dilindungi di bawah Akta Perintah Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam.
Beliau seterusnya menjelaskan, sejak 2015, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan bersejarah negara. Antaranya termasuklah pemulihan Taman Arkeologi Kota Batu pada 2015, Muzium Daerah Belait pada 2016, pemuliharaan Makam Sultan Bolkiah dan Sultan Sharif Ali pada 2020, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja pada 2022 dan konservasi Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Tapak Arang Batu pada 2024.
Selain itu, Projek Jejak Warisan yang diperkenalkan sejak 2017 telah menghubungkan beberapa monumen bersejarah di Bandar Seri Begawan dan sehingga kini menarik lebih 30,000 pelawat setahun.
“Dalam memastikan keselamatan dan pemeliharaan tapak-tapak bersejarah, beberapa langkah telah diambil dan dirancang. Ini termasuk pemasangan papan tanda maklumat dan larangan di lokasi-lokasi berisiko, penyediaan pagar keselamatan dan pusat informasi bagi pengunjung dan kerjasama dengan UNESCO untuk mendapatkan kepakaran dalam pemuliharaan warisan.
“Kementerian juga giat menyusun senarai bangunan berpotensi untuk dimasukkan dalam Inventori Warisan Negara, bagi memastikan warisan bersejarah yang mempunyai nilai tinggi terus terpelihara,” ujar Yang Berhormat Dato.
Di akhir penjelasan, beliau turut menyatakan dengan usaha berterusan itu, pemeliharaan warisan bukan sahaja menjaga sejarah dan identiti negara, tetapi juga berpotensi untuk memberi impak positif kepada pelancongan dan ekonomi Brunei, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
