Inisiatif guru membawa kejayaan pelajar

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pendidikan

Kebanyakan pelajar yang menduduki peperiksaan PSR 2019 sudah menerima keputusan masing-masing dan pelbagai reaksi bukan sahaja daripada diri pelajar akan tetapi ibu bapa di mana perasaan girang, bersyukur dan gembira terpancar di wajah-wajah mereka.

Di sebalik kejayaan itu, kelihatan wajah-wajah riang dan syukur daripada guru-guru yang berusaha bagi membantu pelajar mencapai kejayaan dalam peperiksaan mereka itu. Semua ini mengajak kita untuk membuat refleksi mengenai program usaha, inisiatif dan elemen yang membawa ke arah membantu pencapaian yang dihasratkan itu.

Dengan persediaan yang rapi dan teratur tidak dinafikan merupakan ramuan utama untuk mencapai kecemerlangan yang diimpikan. Justeru, persediaan terancang ini mampu untuk membantu pelajar memberikan tumpuan serta menyasarkan keputusan yang lebih mantap.

Keputusan PSR 2019 sudah diketahui, namun kisah di sebalik usaha ke arah membantu pelajar mencapai keputusan berkenaan kini dikongsikan melalui beberapa orang tenaga pengajar Tahun 6 bagi program serta aktiviti tambahan yang dijalankan di sekolah masing-masing sebagai persediaan bagi pelajar sebelum mereka menduduki peperiksaan.

Bagi guru Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, Dayang Shamtinah binti A. Matali, beliau menggunakan teknik peer instruction dan interaktif di mana ia memberikan peluang serta pendedahan kepada para pelajar untuk belajar secara aktif menggunakan teknologi visualizer dan projektor yang memberikan rasa kepunyaan kepada diri pelajar mengenai kepentingan belajar demi mengejar kejayaan.

Awang Abdul Muiz dari SR Berbuluh
Dayang Wardatun Nasirah dari SR Dato Mohd Yassin, Mentiri
Awang Ahmad Waqiyuddin dari SR Puni, Temburong
Haji Mohammad Iswadi dari SR Bebuluh
Awang Rosland dari SR Puni, Temburong
Dayang Zuriati dari SR Dato Mohd Yassin, Mentiri

Sementara itu, Dayang Norlia binti Abdul Lamit menjelaskan ulang kaji yang berterusan dan latih tubi yang intensif dapat membantu pelajar menghadapi PSR.

Selain itu, Hajah Renah Halizah Haji Mohd Ali pula menggunakan kaedah membimbing dan memberikan galakan, selain meningkatkan motivasi pelajarnya supaya lebih tekun belajar serta memberikan peluang kepada mereka melayari laman sesawang untuk mencari maklumat berdasarkan tajuk yang disediakan oleh guru-guru.

Hajah Norashikin binti Haji Mohd Nafiah menggunakan Program Learning Outreach (L.O.P) yang dilaksanakan mengikut jadual waktu pengajaran dan pembelajaran biasa di mana para pelajar melaksanakan tugasan secara berkumpulan mengikut tahap kemampuan mereka, guru hanya memantau perjalanan pembelajaran di dalam kelas dan para pelajar diberi peluang untuk membentangkan hasil dapatan mereka di hadapan kelas.

Kaedah ini, jelasnya, dapat memberi peluang kepada para pelajar mengingati dan memahami proses pembelajaran secara praktikal dan segala ilmu pengetahuan yang diperoleh akan dapat diingat untuk jangka masa yang lama.

Dayang Marnie Farizan binti Haji Ahmad pula menggunakan kaedah real life situation dalam pengajarannya, di mana beliau membawa pelajarnya keluar dari sekolah dan melawat tempat yang berkaitan dengan kandungan pelajaran. Hajah Ainah Haji Basar pula menggalakkan dan membiasakan para pelajar menggunakan perkataan yang mempunyai frekuensi tinggi serta sering digunakan dalam kertas soalan PSR.

Awang Azizan bin Haji Nayan pula menekankan dalam persediaan menghadapi PSR para pelajar dibantu melalui program kerohanian dengan melakukan pelbagai aktiviti keagamaan seperti bacaan ratib Al Attas, Solat Sunat Duha dan Solat Sunat Hajat.

Dayang Wardatun Nasirah Haji Wahid pula menyatakan bahawa menerusi Clinical Outreach Programme, pelajar dinilai daripada kesalahan yang sering mereka lakukan dan hasil daripada penilaian itu, pihaknya dapat mengenal pasti konsep mengelirukan yang diajar dan membimbing para pelajar mengenai kaedah untuk menyelesaikan sebarang masalah atau kerja yang diberikan bagi mengelakkan kesalahan itu berulang.

Manakala bagi Dayang Zuriati Haji Abdul Jalin menyatakan bahawa teknik pengajarannya menjurus kepada kaitan dengan kehidupan sebenar pelajar dan juga menggunakan video serta aplikasi pendidikan di laman sesawang bagi menerangkan kandungan pelajaran. Manakala Hajah Noradyani binti Haji Ismail menyatakan bahawa latihan menjawab kertas soalan lepas dengan bimbingan dan pengawasan guru, pelajar menggunakan kaedah mencari dan mengenal pasti ayat utama dalam arahan dan soalan yang diberikan.

Dari Sekolah Rendah Puni, Temburong, Awang Rosland bin Haji Bungsu berkata pihak sekolahnya telah melakukan pelbagai usaha untuk membantu pelajar menghadapi PSR supaya mereka dapat memperoleh pencapaian yang cemerlang.

Antara usaha tersebut seperti mengadakan kelas tambahan di waktu pagi dari pukul 7 hingga 7.30 pagi dan juga mengadakan kelas tambahan pada hari Jumaat. Pengajaran menggunakan teknik perbincangan juga digunakan dalam kelas di mana ia dapat membantu para pelajar meluahkan dan memberikan pendapat dan idea masing-masing.

Seterusnya pelajar dapat melihat teknik mendapatkan jawapan yang betul melalui kaedah yang digunakan oleh mereka sendiri. Teknik itu juga dapat memberikan peluang para pelajar ingat akan segala fakta–fakta yang mereka telah bincangkan dengan lebih baik.

Bagi Awang Ahmad Waqiyuddin bin Haji Ahmad Waqiyuddin, beliau mendapati pelbagai program yang dijalankan dapat membantu pelajarnya menghadapi PSR seperti pengajaran menggunakan teknik, Fill in the Gap (FTG) dan Homelink Programme.

Bagi guru-guru dari Sekolah Rendah Bebuluh pula, Haji Mohammad Iswadi bin Dr Mataim berkata bahawa beliau sering memberikan tugas yang memerlukan pelajarnya untuk melakukan penyelidikan sama ada melalui berita dan melalui Internet di mana ia dapat membantu melatih minda mereka supaya dapat berfikir secara kritis dan kreatif terutama tugasan yang memerlukan para pelajar berfikir di luar kotak.

Manakala itu, Awang Abdul Muiz Haji Sabli pula mengatakan beliau melakukan perbincangan bersama pelajar-pelajar semasa menjawab soalan-soalan yang diambil dari kertas PSR terdahulu.

Melalui perbincangan itu, para pelajar dapat meluahkan keupayaan dan kekurangan mereka terhadapnya sebagai guru mereka.