Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kelmarin telah menyerahkan poskad kepada Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) untuk menyokong inisiatif mereka dalam memenuhi matlamat menghantar 4,000 poskad ke angkasa lepas.
Poskad berkenaan telah diserahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif NiAT, Dayang Siti Nur Aazzah binti Pehin Dato Haji Abdul Aziz di Ibu Pejabat BIBD, di ibu negara.
Poskad yang mengandungi mesej kreatif, gambar dan ekspresi artistik itu adalah daripada pegawai dan kakitangan bank dan ahli keluarga mereka serta rakan-rakan yang akan membentuk keseluruhan koleksi poskad dari Brunei untuk dihantar ke angkasa lepas melalui roket Shepard baharu Blue Origin.
Turut menyertai inisiatif berkenaan ialah para pelajar program BIBD ALAF yang mana masing-masing menghasilkan poskad kreatif mereka.
Poskad akan dicap ‘Terbang ke Angkasa’ dan dihantar semula ke alamat yang dinyatakan pada poskad.
Inisiatif berkenaan juga diadakan sejajar dengan sokongan BIBD terhadap Matlamat Pembangunan Mampan No 4, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu pendidikan berkualiti, untuk meningkatkan kesedaran tentang penyelidikan angkasa lepas dan usaha Brunei di bawah NiAT seperti matlamat membina satelit Brunei sendiri.


