Oleh Salawati Haji Yahya –
Menerusi peruntukan sebanyak $6.35 bilion akan dapat membiayai pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Dengan peruntukan itu juga, sektor pengangkutan dan infokomunikasi terus menjadi salah satu pemacu utama dalam menjana pendapatan negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menyatakan semasa perbahasan secara keseluruhan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan tahunan bagi Tahun Kewangan 2025/2026 pada hari keenam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 bahawa kementeriannya akan terus berusaha meningkatkan infrastruktur dan memperkukuh daya saing negara dalam sektor ini.
Setakat Februari 2025, jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menyumbang pendapatan sebanyak $32.55 juta kepada kerajaan.
Selain itu, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) menyumbang sebanyak $19.5 juta pada 2024, manakala Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) dijangka menyumbang $17.4 juta.
Jumlah keseluruhan hasil ini mencerminkan peranan penting sektor pengangkutan dan infokomunikasi dalam menggalakkan aktiviti ekonomi dan memperkukuhkan daya saing negara.
CABARAN TRANSFORMASI DIGITAL DAN KESELAMATAN SIBER
Dalam mencapai matlamat Wawasan 2035, pelbagai cabaran perlu ditangani, termasuk kemajuan pesat transformasi digital dan ancaman siber yang semakin kompleks.
Perubahan ini membawa peluang besar, namun pada masa yang sama memerlukan kesiapsiagaan dalam mengadaptasi teknologi serta melindungi sistem dan data kritikal negara.
Bagi memastikan keseimbangan antara inovasi dan keselamatan, dasar digital perlu diperkukuhkan, kapasiti tenaga kerja ditingkatkan, serta kerjasama antara agensi kerajaan, swasta dan organisasi bukan kerajaan diperluaskan.
Sebanyak $146.5 juta diperuntukkan untuk membiayai projek teknologi maklumat di semua kementerian dan jabatan kerajaan. Peruntukan ini bertujuan meningkatkan keupayaan digital sektor awam, mempercepatkan transformasi digital negara dan memastikan keselamatan siber lebih mantap.
Sebanyak 73.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan berulang kementerian diperuntukkan kepada keperluan teknologi dan infokomunikasi, termasuk pengurusan pendigitalan, pembangunan teknologi serta keselamatan siber.
Keutamaan ini mencerminkan usaha memperkukuhkan ekosistem digital negara.
Sebagai langkah menyokong usaha transformasi digital, sebanyak 103 projek berkaitan telah dibincangkan dan disokong melalui mesyuarat Forum Chief Information Officer (CIO).
Pendekatan ini selaras dengan objektif negara untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti, serta mengurangkan pembaziran dengan menerapkan pendekatan bersepadu di seluruh negara.
PELAKSANAAN BENGKEL BPI
Salah satu inisiatif yang diusahakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan ialah pelaksanaan bengkel Business Process Improvement (BPI) bagi perkhidmatan kerajaan.
Bengkel ini dibincangkan dalam mesyuarat Forum CIO pertama pada Februari 2025 dan bertujuan mengenal pasti serta menambah baik proses kerja sebelum pendigitalisasian dilakukan.
Langkah ini memastikan penyampaian perkhidmatan lebih efisien, telus dan mesra pengguna.
Diharapkan setiap kementerian dapat membentuk pasukan BPI sendiri bagi memastikan kesinambungan inisiatif ini dalam jangka panjang, sejajar dengan usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam. Bengkel BPI ini akan mula dilaksanakan pada April 2025.
BRUNEI ID AKAN DIPERKENALKAN
Yang Berhormat Pengiran Dato turut mengumumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pelaksanaan Brunei Identity Digital (Brunei ID).
Projek ini merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan akan menyediakan satu identiti digital untuk transaksi dalam talian yang selamat dan efisien.
Fasa percubaan Brunei ID akan dijalankan selama enam bulan untuk menilai pengalaman pengguna, mengumpul maklum balas, serta memastikan kesiapan platform sebelum pelancaran rasmi kepada orang ramai.
Percubaan ini melibatkan perkhidmatan dalam talian terpilih dari sektor kerajaan dan swasta untuk meningkatkan jumlah pengguna serta memberi manfaat kepada pihak berkepentingan.
GABUNGAN TEKNOLOGI AI
Dalam menghadapi perubahan teknologi global yang pesat, Brunei perlu memastikan tidak ketinggalan dalam penerapan kecerdasan buatan (AI).
Pihak AITI telah menubuhkan kumpulan kerja khas bagi urus tadbir dan etika kecerdasan buatan, terdiri daripada wakil 24 agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi.
Objektif utama kumpulan ini adalah untuk menyediakan garis panduan bagi organisasi dalam membangun dan menggunakan AI secara beretika serta mengurus risiko yang berkaitan.
Sehingga kini, melalui Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES), sebanyak 16 projek penyelidikan telah diluluskan dengan peruntukan $34 juta.
Diharapkan projek ini dapat menghasilkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
KESELAMATAN INDUSTRI PENERBANGAN
Bagi sektor pengangkutan udara, peningkatan keselamatan dan keupayaan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei menjadi keutamaan.
Pelbagai projek naik taraf dan pembaikan sedang dilaksanakan, termasuk pemulihan landasan, peningkatan sistem pengawasan keselamatan, serta pembaikan kemudahan aerodrome.
Dengan pemodenan ini, diharapkan lapangan terbang negara dapat memenuhi piawaian antarabangsa dan terus menyokong pertumbuhan industri penerbangan negara.
PERKEMBANGAN MPABD
Dalam mempertingkatkan infrastruktur perdagangan dan logistik negara, BPMP memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perkapalan dan maritim.
Beberapa pelawaan telah dibuka untuk pengurusan Terminal Feri Serasa, Depot Kontena Pendalaman, serta pengurusan limbungan kapal di Serasa.
Sebagai tambahan, PBMP sedang membangunkan platform digital Maritime Single Window untuk memastikan kelancaran operasi maritim dan pelabuhan.
Sistem ini akan mempermudah akses kepada perkhidmatan pelabuhan, termasuk perkhidmatan panduan kapal dan penundaan.
Ia juga akan diintegrasikan dengan sistem utama PBMP dan dijangka digunakan pada suku pertama tahun ini.
KESELURUHAN BELANJAWAN
Belanjawan negara bagi Tahun Kewangan 2025/2026 memberi tumpuan kepada meningkatkan kesejahteraan awam, mempelbagaikan ekonomi secara mampan, serta membangun modal insan yang berdaya saing.
Perancangan strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memastikan keselamatan sektor pengangkutan dan alam siber, di samping menyediakan perkhidmatan yang cekap dan bersih.
Seiring dengan Wawasan Brunei 2035, kementerian ini berusaha memperkukuh perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif yang dirancang untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan dan infokomunikasi serta memperluaskan perkhidmatan digital.
Usaha ini diharap dapat menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan serta memastikan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.