Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif Jalur dan Laluan rangsang kemajuan pelancongan

    PHNOM PENH, 12 Jun – Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata hari ini Inisiatif Jalur dan Laluan akan menyumbang kepada kemajuan pelancongan di semua negara yang mengambil bahagian, termasuk Kemboja.

    “Kemboja menyokong sepenuhnya Inisiatif Jalur dan Laluan disebabkan ia adalah dasar yang menguntungkan semua orang,” kata beliau ketika majlis pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan Dialog Kerjasama Asia ke-2 (ACD) di timur laut wilayah Siem Reap.

    “Kami yakin dasar ini akan membantu merangsang perkembangan pelancongan di negara yang terletak di Jalan Sutera, termasuk negara anggota ACD dan di Kemboja,” kata beliau.

    Kawasan Ekonomi Jalan Sutera dan Jalan Sutera Maritim Abad ke-21, dikenali sebagai Inisiatif Jalur dan Laluan, dicadangkan oleh China pada tahun 2013 dengan tujuan membina rangkaian perdagangan dan infrastruktur yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan Afrika di sepanjang laluan perniagaan lama.

    Untuk menyokong inisiatif tersebut, China telah menubuhkan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) dan Dana Jalan Sutera.

    Pelancongan adalah satu daripada empat tunggak yang menyokong ekonomi Kemboja, menghasilkan pendapatan kasar sebanyak AS$3.4 bilion pada 2016 dan menyumbang kepada 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

    Kemboja menarik lima juta pelancong antarabangsa pada tahun 2016, kata perdana menteri Kemboja, meramalkan jumlah tersebut akan meningkat kepada 5.4 juta pada 2017 dan kepada 7 juta pada 2020. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda