Inisiatif Kementerian Pertahanan eratkan hubungan pertahanan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Dengan matlamat untuk meningkatkan lagi hubungan pertahanan yang sedia ada antara kedua-dua buah negara dan mengenal pasti bidang-bidang kerjasama pertahanan yang bermanfaat kepada kedua-dua negara, Negara Brunei Darussalam dan Australia telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama (JKPB) ke-18 secara dalam talian, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Strategi) di Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud dan Penolong Setiausaha Asia Tenggara, Bahagian Dasar Antarabangsa, Jabatan Pertahanan Australia, David Lewis.

Turut hadir pada mesyuarat itu secara fizikal dan dalam talian ialah Penasihat Pertahanan Australia ke Negara Brunei Darussalam, Leftenan Kolonel Dan Hauser dan Penasihat Pertahanan Negara Brunei Darussalam ke Australia, Komander Sonny Iskandar bin Rasani serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera dari kedua-dua negara.

Kenyataan menyatakan, semasa mesyuarat berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan hal-hal pertahanan dua hala yang berkaitan dengan pertukaran di pelbagai peringkat termasuk kursus, latihan dan eksesais serta kerjasama pertahanan termasuk inisiatif dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus seperti ASEAN Direct Communications Infrastructure (ADI), kitaran ADMM-Plus Experts’ Working Group on Military Medicine ke-4 yang dipengerusikan bersama oleh Negara Brunei Darussalam dan Australia dari 2021 hingga 2024.

JKPB di antara Negara Brunei Darussalam dan Australia telah ditubuhkan melalui memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Australia yang ditandatangani pada 10 Mei 1999.

MoU berkenaan berfungsi sebagai rangka kerja untuk memupuk hubungan pertahanan dan kerjasama yang lebih erat di antara Kementerian Pertahanan dan angkatan tentera kedua-dua negara, seperti kursus dan latihan, eksesais ketenteraan, pertukaran maklumat mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan pertukaran lawatan di antara pegawai-pegawai pertahanan dan tentera masing-masing.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan dan Penolong Setiausaha Asia Tenggara di Jabatan Pertahanan Australia ketika Mesyuarat JKPB ke-18.
Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan dan Penolong Setiausaha Asia Tenggara di Jabatan Pertahanan Australia ketika mesyuarat JKPB ke-18 secara maya bersama Leftenan Kolonel Dan Hauser dan Komander Sonny Iskandar.