Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Program Discovery Global (GDP) yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar-pelajar luar negara mempelajari serta mengenali Negara Brunei Darussalam, Borneo dan Asia Tenggara telah menunjukkan perkembangan positif sejak ia mula diperkenalkan enam tahun lalu.
Menurut Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Joyce Teo Siew Yean, GDP dilancarkan pada 2011 dengan hanya satu kursus iaitu Mengenali Brunei (Discover Brunei), tetapi kini berkembang kepada tiga bidang luas iaitu Kursus Mengenali Budaya dan Bahasa Melayu (Discover Malay Language and Culture Course), Kursus Mengenali Brunei (Discover Brunei Course) dan Kursus Intensif Kefasihan Bahasa Inggeris (Intensive English Proficiency Course, IEPC).
“Ia terus menunjukkan perkembangan positif dalam matlamatnya untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar dari universiti rakan luar negara untuk mempelajari serta bertukar-tukar idea dan pengalaman pembelajaran berhubung dengan Brunei, Borneo dan Asia Tenggara,” katanya ketika berucap pada Perasmian Program Sekolah Musim Panas Kepimpinan Global: GDP, yang berlangsung di Dewan Inspiring, Pusat Pelajar, UBD, hari ini.
Menurut Dr. Joyce Teo, jumlah pelajar yang menyertai program GDP terus meningkat dari tahun ke tahun di mana lebih daripada 200 orang pelajar telah menyertainya sehingga 2016. Pada masa ini, terdapat seramai 45 orang pelajar dari Princess Naradhiwas University, Thailand sedang menyertai program GDP di bawah Kursus IEPC.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Sekolah Musim Panas Kepimpinan Global (GLSS), beliau berkata, ia merupakan program yang dirangka khusus bagi 10 buah universiti rakan secara serentak di mana para peserta program berkenaan mereka berpeluang menjalin hubungan persahabatan dan menubuhkan rangkaian rakan sebaya bersama pelajar-pelajar UBD dan universiti-universiti terlibat.



Sepuluh buah universiti antarabangsa itu ialah Birmingham City University, Hong Kong University of Science & Technology, Chinese University of Hong Kong, Tokyo University of Foreign Studies, Xiamen University, Xian Jiaotong University, Sultan Qaboos University, Hong Kong University, Mah Fae Luang University dan Mahasarakham University.
Di samping itu, GLSS juga dihasratkan untuk memperkayakan para pelajar dengan kemahiran kepimpinan seperti kerja berpasukan, menyelesaikan masalah secara kreatif serta teknik-tenik komunikasi dan rundingan.
Dalam hubungan itu, beliau berkata, pelbagai kegiatan menarik telah dirancang untuk mencapai hasrat itu seperti kegiatan kerja berpasukan di mana para pelajar akan mempelajari banyak perkara berhubung dengan kemahiran-kemahiran kepimpinan.
Program GLSS berlangsung selama empat minggu disertai oleh seramai 40 orang pelajar dari 10 buah universiti antarabangsa tersebut.
Ia merupakan program utama GDP yang dikendalikan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), UBD, yang mana ia memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali, mempelajari dan menimba pengalaman di Brunei menerusi kegiatan inap desa, lawatan sambil belajar ke pelbagai agensi dan lawatan ke pelbagai tempat yang relevan.
Sepanjang program itu, para peserta akan mengikuti pelbagai kegiatan dan sesi kuliah yang berkaitan dengan lima tema utama GDP iaitu Bahasa, Melayu Islam Beraja, Sejarah Brunei, Sains Hijau serta Perniagaan dan Industri di mana kegiatan dan kuliah berkenaan memberikan penekanan kepada membina kemahiran kepimpinan, semangat kerja berpasukan, teknik rundingan, menyelesaikan masalah secara kreatif serta teknik komunikasi.
Melalui gabungan sesi kuliah dan lawatan itu, para pelajar diharap akan mempunyai kefahaman mengenai Brunei secara lebih mendalam dari segi budaya dan bahasa, biodiversiti, sejarah dan industri serta pada masa yang sama membangun kemahiran kepimpinan mereka.