Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Majlis Pelancaran Program Kemahiran Kusahawanan Kohort 1 Bagi Tahun 2025 yang dikendalikan oleh Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah sempurna diadakan pagi tadi bertempat di Tingkat 15, Bangunan PGGMB, di ibu negara.
Program itu bertujuan menyediakan latihan komprehensif dan sistematik bagi melengkapkan asnaf dengan kemahiran keusahawanan yang membolehkan mereka berdikari serta membina kehidupan yang lebih stabil.
Setakat ini seramai 244 peserta berjaya meningkatkan taraf hidup mereka dan terkeluar dari senarai penerima wang agihan asnaf fakir miskin sejak penubuhan Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ).
Program tersebut ditubuhkan pada 2007, merupakan sebuah unit yang ditugaskan untuk melaksanakan usaha-usaha yang berbentuk mampan dan berdaya tahan melalui bimbingan dan latihan kepada asnaf.
Program baharu itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa latihan berkonsepkan work-based learning, termasuk penilaian peserta, latihan intensif selama lima hari untuk pendedahan kepada ekosistem perniagaan dan ekonomi Islam dan latihan lanjutan selama enam bulan untuk membangunkan kemahiran keusahawanan. Peserta juga akan menerima kemudahan bagi memulakan perniagaan mereka selepas tamat latihan.
Program itu merupakan inisiatif strategik untuk memastikan lebih ramai asnaf dapat keluar daripada kitaran kemiskinan melalui keusahawanan.
Majlis pelancaran program berkenaan juga menyaksikan sesi menandatangani dokumen menerima agihan zakat bagi mengikuti Program Kemahiran Keusahawanan Asnaf Zakat yang ditandatangani oleh enam peserta yang terpilih melepasi saringan daripada 23 orang peserta PROPAZ dan keenam peserta itu menamatkan program dan menerima micro-grant sebagai modal memulakan perniagaan.
Antara program itu seperti kerjasama dengan Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menerusi program PROPAZ-PPB (2007), kemudian pelaksanaan program bersama rakan strategik untuk PROPAZ-Perantis (2012) dan projek rintis dalam program PROPAZ Az-Zira’ah (2017).
Seterusnya, penghantaran asnaf keluar negara pada tahun 2019 hingga 2020, iaitu mengikuti tawaran program latihan kemahiran di Institut Kemahiran Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Malaysia.
Di samping itu, asnaf zakat juga diberikan bimbingan menerusi aktiviti-aktiviti pembangunan diri dan keusahawanan bagi melengkapkan pengupayaan diri mereka dari aspek pengayaan keagamaan, sosial masyarakat dan ekonomi.
Pada hari ini, kerjasama Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal, bersama BIBD bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan BIBD juga menjadi rakan strategik kepada PROPAZ sejak tahun 2018, dalam program BIBD SEED.
Program itu adalah satu inisiatif BIBD bagi membantu peserta-peserta yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan turut menawarkan peluang dalam kalangan peserta-peserta PROPAZ untuk mengikutinya menerusi pembelajaran dan pendedahan untuk menjana pendapatan melalui keusahawanan.
Menurut Pengiran Dr Haji Amiruddin lagi, aspek pengupayaan itu merangkumi dua perkara utama iaitu latihan kemahiran penerokaan secara profesional yang memudah cara bagi peserta dengan kemahiran teknikal, vokasional, kewangan dan seumpamanya. Perkara kedua ialah pengayaan dengan dicakna program berkonsepkan motivasi, sosial, bekalan ilmu dan potensi sehingga dapat menyumbang potensi kehidupan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak BIBD dan rakan-rakan yang berusaha dari Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal, diharapkan para peserta akan terus konsisten dan mengambil peluang yang telah diberikan dalam program ini dan akan berjaya seperti yang diharapkan.