Monday, July 21, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif kitar semula dapat sambutan

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 15 Okt – Dengan matlamat untuk memupuk kesedaran masyarakat di negara ini dalam menjadikan amalan kitar semula sebagai budaya dalam kehidupan seharian, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan bagi cawangan Daerah Tutong telah mengadakan Hari Kitar Semula di Pejabat JASTRe, Jalan Bukit Bendera, Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Perlaksanaan program kitar semula dengan kerjasama tiga buah syarikat kitar semula yang berdaftar iaitu Daikyo Environmental Recycling Sdn Bhd, EnEvo Sdn Bhd dan Imaa Maya Enterprise itu adalah untuk menyediakan tempat di mana orang ramai boleh menghantar barangan terpakai yang boleh dikitarkan semula seperti kertas, botol plastik, minyak terpakai dan barang buangan elektronik (e-waste) termasuk televisyen, peti ais, penghawa dingin dan sebagainya.

    Semasa ditemui, Ketua Pembantu Teknik JASTRe, Daerah Tutong, Dayang Nur Naila Athifa Lim binti Abdullah menyatakan bahawa meskipun inisiatif program kitar semula ini merupakan julung kalinya dia-dakan di Daerah Tutong, namun sambutan daripada masyarakat di daerah berkenaan amat menggalakkan.

    Menurutnya, rata-rata mereka begitu teruja menghantar pelbagai barangan terpakai serta memberi sokongan padu dalam menjayakan program tersebut.

    Sehubungan itu, Daerah Brunei dan Muara dan Belait juga telah melaksanakan inisiatif yang serupa baru-baru ini dengan kerjasama dua buah lagi syarikat yang berdaftar iaitu Shaliz Waste Recycling dan Kawan Bumi Sdn Bhd dalam sama-sama menjayakan Hari Kitar Semula tersebut dengan memberikan khidmat kutipan barang yang boleh dikitar semula dan diproses sama ada dalam negeri atau dihantar ke luar negeri untuk proses kitar semula.

    Secara keseluruhannya, sejumlah 1,101.2 kilogram kertas, 221.75 kilogram botol plastik dan 364 barang buangan elektronik telah berjaya dikumpulkan dan dibawa ke syarikat kitar semula masing-masing untuk dikitar semula.

    Pihak JASTRe berhasrat untuk terus melaksanakan program sebegini dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kadar kitar semula di negara ini dan menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup harian masyarakat dalam sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Orang ramai menyambut baik inisiatif kitar semula yang diadakan oleh JASTRe di Pejabat JASTRe, Jalan Bukit Bendera, Daerah Tutong, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda