Inisiatif kurangkan pengangguran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Kadar pengangguran di Negara Brunei Darussalam menunjukkan penurunan 8.7 peratus pada tahun 2018 berdasarkan Survei Tenaga Kerja 2018 berbanding dengan 9.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, terdapat kira-kira 6,500 orang pencari kerja baharu memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI) menggiat pelbagai usaha untuk menangani isu pengangguran ini. Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein (gambar bawah) berkata demikian pada Sesi Muzakarah antara MEMI dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Beliau mendedahkan beberapa strategi kementerian menangani isu itu dan beberapa isu berbangkit lain di bawah kementerian tersebut. Ia merangkumi pemantauan rapi trend pencari kerja tempatan oleh JobCentre Brunei supaya hal ehwal di sebalik isu pengangguran ini difahami, perkembangan semua sektor, pembukaan dan pengisian peluang-peluang pekerjaan dengan anak-anak tempatan termasuk yang dijana melalui aktiviti limpah kesan ekonomi secara sistematik dan menyejajarkan pembekalan tenaga manusia tempatan dengan keperluan para majikan.

“Perkembangan seperti yang dilihat di kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan kita sendiri di tapak-tapak perindustrian dan perkembangan projek pelabur langsung asing yang ditinjau kelmarin amatlah penting untuk menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran.

“Walau bagaimanapun, isu pengangguran ini perlu dipikul secara meluas dan holistik, termasuk di peringkat individu. Adalah penting untuk memupuk semangat dan keazaman tinggi di kalangan pencari kerja juga yang mana usaha ini memerlukan pendekatan whole of nation terutamanya di peringkat akar umbi.”

Bagi mendukung usaha itu, pihak kementerian, jelasnya, bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk menggubal dasar dan inisiatif untuk meluaskan succession planning secara efektif ke sektor bukan minyak dan gas serta meneliti dasar baharu untuk meningkatkan lagi penjanaan aktiviti kesan limpah dan pengambilan tenaga kerja tempatan.

“Antara inisiatif yang dirancang adalah Bruneianisation Directive dan Local Business Development Directives bagi sektor bukan minyak dan gas.

“Di samping itu, pihak kementerian berhasrat untuk mendukung kemajuan sektor perindustrian agar berkembang dengan lebih pesat. Pihak kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkepentingan untuk membangunkan kluster tumpuan bagi sektor perindustrian dengan menarik pelabur langsung asing dan penyediaan kemudahan serta tapak perindustrian yang mendukung aktiviti-aktiviti mereka.”

Yang Berhormat Dato menyatakan, usaha itu termasuk peningkatan prasarana dan perkhidmatan tapak-tapak perindustrian serta memudah cara proses permohonannya.

Di samping itu, para pelabur langsung asing juga dipertanggungjawabkan untuk membukakan peluang-peluang kepada perniagaan-perniagaan tempatan dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan kapasiti daripada segi pengetahuan, kepakaran dan teknologi, tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny.

Beliau mendedahkan bahawa pada 2020, beberapa projek minyak dan gas hiliran besar akan mula beroperasi seperti loji penapis minyak dan petrokimia Pulau Muara Besar yang direncanakan untuk memulakan operasi sepenuhnya pada penghujung 2019 atau awal 2020.

Ia mempunyai kapasiti pemprosesan sebanyak 175,000 tong minyak mentah sehari dan terdapat beberapa jenis produk yang telah mula dikeluarkan secara percubaan (trial) seperti diesel, Jet A1, gasolin dan gas cecair petroleum (LPG) yang mana sejumlah kecil sudah mula dieksport ke negara-negara berhampiran.

Selain daripada itu, jelasnya lagi, projek loji pengeluaran ammonia dan urea Brunei Fertilizer Industries dijangka akan memberi sumbangan positif kepada ekonomi negara apabila ia mula beroperasi pada 2021.

Manakala ketika menyentuh mengenai inisiatif kementeriannya dalam isu harga minyak, beliau menjelaskan bahawa harga minyak pada 2019 telah menampakkan sedikit pemulihan dengan harga minyak mentah mengikut Dated Brent adalah dalam lingkungan AS$62 setong pada hari ini.

“Sebagai sektor perekonomian utama negara, kestabilan sektor minyak dan gas akan terus memacu perbelanjaan dan perkembangan di sektor-sektor kepentingan negara yang lain.

“Walau bagaimanapun, ia tetap menjadi peringatan bahawa kita perlu sentiasa berwaspada dalam penggunaan dan pengurusan sumber hidrokarbon negara serta aset-aset yang berkaitan.”

Oleh yang demikian, tambah beliau, pihak MEMI mengadakan beberapa inisiatif untuk melindungi sumber pendapatan negara daripada kejutan (shock) yang mungkin berlaku.
Pada 2019, pihak kementerian, jelasnya, selaku pengawal selia sektor minyak dan gas telah menekankan peningkatan aktiviti eksplorasi dalam usaha menambah sumber hidrokarbon dan pengeluaran minyak dan gas bagi meraih manfaat daripada kenaikan harga minyak.

“Dalam pada itu, sasaran aktiviti eksplorasi kini dirancang akan melebihi sasaran tahun ini jika prestasi sekarang diteruskan.”

Manakala itu, dalam usaha menjamin sekuriti pembekalan elektrik, beliau berkata pada jangka masa panjang, perancangan pempelbagaian pencampuran sumber tenaga sedang diteliti sambil meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai bagi berjimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik serta untuk menghindari amalan yang membazirkan dan kurang selamat.

Pada masa yang sama, Jabatan Perkhidmatan Elektrik juga menjalankan kerja menaiktarafkan dan penyelenggaraan infrastruktur elektrik kebangsaan.

Beliau menjelaskan bahawa usaha itu juga mendukung hasrat negara untuk memelihara imej dan khazanah hijau negara dana pada ketika ini, kementeriannya telah menjalankan beberapa buah bengkel untuk merangka dasar perubahan iklim negara dengan Urus setia Kebangsaan Perubahan Iklim.

Manakala itu, dalam hal ehwal kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah mengeluarkan beberapa garis pandu berkaitan dengan keselamatan di tempat kerja terutamanya di tapak pembinaan yang berisiko tinggi untuk melindungi para pekerja daripada kejadian dan kemalangan yang tidak diingini.

Yang Berhormat Dato berkata, “Perkembangan negara merupakan sesuatu isu yang perlu ditangani secara holistik dan kita seharusnya mengambil pandangan luas dan strategik agar dapat bergerak sehaluan dalam memenuhi keperluan dan mempertingkatkan lagi kesejahteraan rakyat dan penduduk negara.”