Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif lahir atlet masa depan negara

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Sekolah Sukan telah mengetengahkan rancangan mereka untuk membangun dan melatih individu untuk menjadi atlet masa depan kebangsaan berikutan sesi dialog dengan beberapa ahli persatuan sukan di negara ini yang berlangsung di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie baru-baru ini.

    Turut hadir pada majlis tersebut Presiden Kongres Boling 10 pin Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Badee bin Pengiran Kerma Raja Pengiran Haji Kamarulzaman; Pengetua Sekolah Sukan, Matthew Letham; Timbalan Pengetua, Haji Azrin bin Haji Ali serta jurulatih-jurulatih Sekolah Sukan dalam sukan bola jaring, karate, silat, sepak takraw, atletik dan wusyu.

    Pada majlis tersebut Haji Azrin mengongsikan mengenai amalan yang dibuat di Malaysia di mana persatuan-persatuan sukan membekalkan atlet ke sekolah sukan dan akan cuba untuk diimplementasikan di sini.

    Sesi turut membincangkan proses pengambilan Sekolah Sukan dan tarikhnya sementara persatuan juga menunjukkan sokongan mereka untuk menyampaikan maklumat pengambilan dan merekrut pemain untuk didaftarkan di sekolah tersebut.

    Perbincangan ringkas mengenai pendaftaran pelajar Sekolah Sukan baharu untuk tahun 2021 juga disampaikan oleh Guru Kanan Sukan di Sekolah Sukan, Awang Aminuddin bin Jumat.
    Sekolah Sukan menawarkan program akademik dan sukan serta kemudahan akademik dan sukan yang lengkap.

    Sesi bergambar ramai selepas sesi dialog pembangunan atlet masa depan negara di Sekolah Sukan. – Gambar serahan Sekolah Sukan

    Syarat untuk mendaftar masuk ke Sekolah Sukan merangkumi pelajar dari tahun 6 hingga 8 atau di tahun empat dan lima di sekolah agama, cergas dan minat bersukan dan mesti lulus ujian kemahiran.

    Ujian dan tarikh pemilihan juga telah dirancang di keempat-empat daerah.

    Tarikh percubaan dan pemilihan akan bermula di Daerah Temburong pada 16 Oktober di Sekolah Rendah Sultan Hassan Bangar dari 2:30 hingga 5 petang diikuti dengan Daerah Belait pada 18 Oktober yang akan diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina Ali dari jam 8:30 pagi hingga 11 pagi, seterusnya Daerah Tutong pada 23 Oktober di Sekolah Menengah Muda Hashim dari 2:30 petang hingga 5 petang dan Daerah Brunei dan Muara pada 25 Oktober yang akan diadakan di Sekolah Sukan dari jam 8:30 pagi hingga 11 pagi.

    Ujian dan pemilihan di keempat-empat daerah yang disebutkan di atas akan diakhiri dengan percubaan terakhir pada 6 November dengan waktu berasingan dari jam 8 pagi hingga 11 pagi dan 2:30 petang hingga 5 petang.

    Inisiatif ini adalah untuk menyokong misi sekolah dan visi dan persatuan sukan juga dilihat sebagai pihak berkepentingan untuk mencapainya.

    Sekolah Sukan telah menyaksikan sejumlah 53 pemenang pingat pertandingan kebangsaan dan 10 pemenang pingat pertandingan antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda