Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif membaca bentuk minda muda

    Gambar AFP

    AMMAN – Di sebuah sekolah di Amman, seorang sukarelawan Jordan membuka sebuah buku dan bertanya, “Siapa yang teruja mendengar sebuah cerita?” – sebahagian daripada inisiatif untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

    Inisiatif ‘Kami Suka Membaca’, yang dilancarkan di 65 buah negara di seluruh dunia, diasaskan oleh Rana Dajani, seorang profesor madya dalam biologi dan bioteknologi di Universiti Hashemite di Jordan.

    Beliau menghabiskan lima tahun menetap di Amerika Syarikat, di mana beliau suka membaca kepada anak-anaknya.

    Tetapi apabila dia kembali ke tanah air, Dajani mendapati kanak-kanak sekolah di negara asalnya jarang membaca untuk keseronokan.

    Beliau memutuskan untuk mengubah situasi tersebut, dan pada tahun 2006 program ‘Kami Suka Membaca’ telah dilahirkan.

    Rana Dajani semasa ditemu bual di sebuah perpustakaan di Amman.
    Kanak-kanak seronok mendengar cerita di sebuah bilik darjah.
    Guru Huda Abu al-Khair berdiri di luar bilik darjah ketika kanak-kanak bersedia untuk masuk ke kelas di Amman.
    Guru Huda Abu Al-Khair membaca cerita kepada kanak-kanak dalam sebuah bilik darjah di Amman.
    Kanak-kanak duduk dalam sebuah bilik darjah di Amman.

    “Pada mulanya, saya menyedari bahawa kanak-kanak hanya membaca untuk pelajaran mereka di sekolah, jadi saya melakukan penyelidikan dan mendapati cara terbaik adalah dengan membaca cerita kepada mereka secara lantang oleh orang dewasa,” kata Dajani kepada AFP.

    Dajani bermula dengan sesi kecil setiap minggu di sebuah masjid berdekatan rumahnya di kawasan Tabarbour, Amman.

    “Pada hari pertama, hanya 25 orang kanak-kanak yang hadir,” katanya.

    Namun, beliau tidak berputus asa dan terus melanjutkan inisiatif tersebut secara perlahan-lahan, dan melatih sukarelawan di seluruh negara.

    Sekarang, ‘Kami Suka Membaca’ telah tersebar di seluruh Jordan, dengan 4,000 sukarelawan yang terlatih berusia di antara 18 hingga 100 tahun.

    “Program kami mendidik pemimpin, dan ia amat kukuh serta berdasarkan penyelidikan saintifik,” kata Dajani.

    Menurutnya, inisiatif ini telah membantu kira-kira setengah juta kanak-kanak di Jordan, termasuk puluhan ribu pelarian yang melarikan diri dari konflik di Syria.

    Buku kertas sebenar

    Setiap ‘safir’ – yang bermaksud duta dalam bahasa Arab – membaca cerita kepada kanak-kanak di mana saja tempat yang dipilih mereka, sama ada di masjid, gereja, sekolah atau tadika.

    Dajani berkata adalah penting untuk tidak membaca cerita di peranti elektronik, “Yang ingin kami elakkan daripada mereka, kerana ia akan menjadi kempen yang sia-sia. Kami mahukan buku kertas yang sebenar.”

    Menurut angka rasmi, kadar buta huruf di Jordan telah menurun dari 88 peratus pada tahun 1952 kepada 5.1 peratus pada tahun 2020, dan program ini bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

    “Melalui membaca, corak pemikiran berubah dan otak serta kesihatan psikologi kanak-kanak berkembang,” menurut Dajani.

    Setakat ini, inisiatif ‘Kami Suka Membaca’ telah menghasilkan 33 judul untuk kanak-kanak yang menyentuh pelbagai topik termasuk alam sekitar, pelarian, buli, jantina, komunikasi sosial dan sains.

    Inisiatif itu juga telah berkembang ke negara-negara lain, dengan 8,000 sukarelawan dilatih di seluruh dunia, dan telah menerima pujian dari seluruh dunia termasuk anugerah UNESCO pada tahun 2017.

    “Saya amat menyukai idea program ini, kerana ia membangunkan bahasa, idea dan konsep kanak-kanak,” beritahu Khair kepada AFP.

    “Itulah sebabnya saya membaca kepada kanak-kanak di prasekolah, semasa lawatan sekolah, di taman awam dan di majlis keluarga – di mana saja saya mempunyai peluang,” tambahnya.

    Kembali di sekolah di ibu negara Amman, dia mengumpulkan satu kumpulan yang terdiri daripada 20 kanak-kanak berusia empat dan lima tahun, dan memulakan sesi membaca.

    “Saya Dina, dan ini adik saya Hani. Kami kembar. Saya dilahirkan beberapa minit lebih awal daripada dia, tetapi kami serupa, dan kami sama-sama suka burung, burung layang-layang dan burung kolibri,” katanya.

    Penceritaannya disertai dengan bunyi ciap burung dari perakam kaset, satu-satunya teknologi moden yang digunakan.

    “Pendidikan pada usia muda adalah seperti ukiran di dalam batu,” kata Khair. Ia kekal sepanjang hayat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda