Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif meningkatkan mutu pendidikan

    Oleh NAJ

     

    MENGADAKAN kelas tambahan pada hari Jumaat adalah salah satu insiatif pihak sekolah dalam memastikan para pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan dan juga bagi mengukuhkan lagi segala isi pelajaran yang diajar di waktu persekolahan.

    Kelebihan kelas tambahan adalah memberikan latihan lanjut yang banyak membolehkan murid meningkatkan kemahiran menjawab soalan. Pengalaman ini sekali gus akan meningkatkan keyakinan diri murid-murid dalam menghadapi sesi penilaian ataupun peperiksaan.

    Di samping itu, kelas tambahan yang dijalankan biasanya memberikan lebih kefahaman kepada murid-murid. Ini khasnya berguna kepada murid-murid yang memerlukan lebih perhatian dalam memahami satu-satu tajuk. Murid-murid yang lemah akan diberikan lebih tumpuan kepada topik-topik yang kurang dikuasai. Dengan itu, prestasi pelajaran murid-murid akan meningkat.

    Selain itu, kelas juga membolehkan murid-murid mengeratkan hubungan dengan guru dan kawan-kawan. Masa yang diperuntukkan bersama-sama sudah pasti akan mengeratkan lagi hubungan yang mesra. Justeru, murid-murid tidak berasa kekok untuk bertanya andai ada sebarang masalah.

    Pemahaman yang kukuh

    Faedah yang ketara apabila seseorang murid itu mengikuti kelas tambahan ialah pemahaman mereka terhadap pelajaran akan menjadi semakin kukuh kerana di waktu kelas tambahan dalam keadaan belajar secara informal dapat mendorong para pelajar mengajukan soalan kepada guru-guru apa saja isi pelajaran yang mereka kurang faham.

    Kelebihan kelas tambahan adalah memberikan latihan lanjut yang banyak membolehkan murid meningkatkan kemahiran menjawab soalan.
    Kelas tambahan yang dijalankan biasanya memberikan lebih kefahaman kepada murid-murid.

    Di waktu kelas tambahan juga guru-guru berpeluang meluangkan lebih masa kepada meningkatkan keupayaan murid itu untuk menjawab soalan. Kaedah ini juga dikenali sebagai latih tubi yang turut memberikan satu pengalaman kepada murid untuk menghadapi realiti peperiksaan yang sebenar.

    Dengan yang demikian, sesi dalam kelas tambahan berupaya menambah keyakinan kepada murid tersebut dalam menghadapi peperiksaan pula kerana telah didedahkan dengan format seumpama peperiksaan. Ini selanjutnya membantu murid untuk menjawab dengan tenang dan tepat setiap soalan yang diberikan.

    Malah, kelas tambahan juga memastikan murid-murid memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Kelas tambahan yang diadakan selepas waktu sekolah biasa menyukarkan murid-murid untuk terbabit dalam gejala yang tidak sihat seperti melepak dan menghabiskan masa menonton televisyen.

    Kesimpulannya, murid-murid sekolah perlu digalakkan mengikuti kelas tambahan untuk memastikan masa depan mereka cerah.

    Namun, jumlah kelas yang dihadiri oleh murid ini juga harus dikawal supaya mereka tidak menghabiskan sepanjang masa dengan menghadiri kelas tambahan sahaja.

    Kualiti lebih penting daripada kuantiti menghadiri kelas. Oleh itu para ibu bapa memainkan peranan bagi memastikan kehadiran anak-anak mereka setiap masa kelas tambahan diadakan. Dengan adanya sokongan dan usaha ibu bapa ini akan dapat membantu usaha pihak sekolah bagi memastikan pencapaian cemerlang para pelajar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda