Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif Nasi Pusu terima sambutan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dalam keadaan negara berhadapan dengan gelombang kedua pandemik COVID-19, pelbagai pihak terus tampil untuk memberi bantuan dan sokongan dalam pelbagai cara.

    Dalam usaha memeduli anggota barisan hadapan dan mereka yang terlibat semasa pandemik ini, Bigboi’s Chill & Grill, Kunyit 7 Lodge dan Global Shapers Community telah bekerjasama untuk menghantar bekalan yang disumbangkan oleh orang ramai dan beberapa pertubuhan perniagaan melalui Inisiatif Nasi Pusu yang bermula 13 Ogos lalu.

    Inisiatif berkenaan memberi fokus utama kepada barisan hadapan dan sukarelawan di Daerah Temburong iaitu pusat pengasingan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam (PIHM).

    Awang Muhammad Burhanuddin bin Mohd Salleh dari Big Boi’s ketika ditemu bual menjelaskan, inisiatif itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan di mana mereka menerima teks dan panggilan tanpa henti daripada penderma.

    “Inisitiaf projek ini mula dikenali dengan ‘Nasi Pusu Untuk Frontliner‘ kemudian ditukar kepada ‘Inisiatif Nasi Pusu’ kerana jumlah penerima sumbangan ini telah diperluas kepada pesakit di pusat pengasingan,” tambahnya.

    Antara yang terlibat dalam Inisatif Nasi Pusu semasa membuat penghantaran sumbangan ke pusat pengasingan.

    Beliau melahirkan perasaan terharu dan bertuah kerana mempunyai tulang belakang untuk inisiatif berkenaan seperti Dayangku Kemariah dari Kunyit 7 Lodge dan Mims Sidi daripada Komuniti Pembentuk Global serta pasukannya di mana mereka telah bekerja keras sepanjang hari untuk memastikan projek berjalan dengan lancar.

    Katanya lagi, “Inisiatif Nasi Pusu ini terus bertahan terutama dengan peningkatan jumlah kes yang membimbangkan di negara ini dan tetap bersemangat untuk barisan depan yang berjuang untuk meratakan lekukan COVID-19.

    “Kami juga mempunyai penderma yang didapati positif dengan COVID-19 dan saat ini sedang menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong, semoga Allah memberikan kesembuhan kepada semua orang yang dijangkiti penyakit ini,” tambahnya.

    Beliau turut mengongsikan bahawa ibunya, Dayang Norliah binti Haji Ali akan bangun seawal pukul 2 pagi untuk menyiapkan nasi pusu untuk dihantar kepada anggota barisan depan dan sukarelawan kerana tanpa ibunya, projek tersebut tidak akan berlaku.

    Pasukan berkenaan masih menerima sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk pembelian nasi pusu atau nasi ayam serta segala bentuk keperluan seperti pelitup muka, pembersih tangan, makanan kering dan sebagainya.

    Di samping itu, kumpulan berkenaan juga telah menyampaikan sumbangan berupa satu lokar dengan 15 unit dan empat unit rak simpanan ke BRIDEX dan beberapa barang ke Kem Latihan PKBN di Batu Apoi, Temburong.

    Selain beberapa barangan keperluan lain seperti keperluan mandian lain pelitup muka, sarung tangan, makanan dan minuman ke Hospital PIHM, Temburong dan Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda