Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 30 Dis – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) giat menjalankan Program Pengawasan Kejiranan (PK) baru-baru ini dan tiga program pendekatan dan rondaan telahpun dijalankan secara berasingan di Daerah Tutong.
Program aktiviti pendekatan ini melibatkan anggota Balai Polis Tutong bersama Ketua Kampung Bukit Udal, Awang Juhno bin Perak.
Hadir bersama mengetuai rombongan ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Salleh.
Objektif pendekatan kali ini adalah untuk memantau penyerahan gaji pencen tua kepada penerima-penerima di kampung berkenaan, selain berkongsi maklumat mengenai situasi jenayah dan kegiatan-kegiatan yang ada di sekitar kawasan Kampung Bukit Udal.
Di samping itu aktiviti tersebut secara tidak langsung turut mengeratkan hubungan silaturahim di antara Fokal Point Balai Polis Tutong bersama ahli-ahli PK di bawah tadahan Balai Polis Tutong.

Sementara itu aktiviti rondaan pencegahan jenayah dijalankan bersama ahli PK Kampung Kupang, yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, P/Insp Abdul Hakim bin Haji Mohd Salleh bersama beberapa orang anggota balai.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PK Kampung Kupang, Haji Mokti bin Haji Rauf dan beberapa orang ahli PK. Rondaan pencegahan jenayah berkenaan dijalankan dengan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Jalan Kecil Maraburong, Kampung Kupang.
Pada masa yang sama, Balai Polis Lamunin telah mengadakan aktiviti rondaan bersama ahli PK Kampung Layong, yang diketuai oleh Penolong Pegawai Mengua-sa Balai Polis Lamunin, P/Insp Awangku Mohd Waie @ Awangku Fathurahman bin Pengiran Abdullah Sani dan Pemangku Ketua Kampung Layong, Mejar (B) Mohd Noh bin Haji Mohd Taib.
Rondaan menggunakan kenderaan tersebut meliputi kawasan Kampung Layong, Jalan Loji Tapisan Bukit Barun dan sepanjang Jalan Kampung Tanjong Dangar. Secara keseluruhan di sepanjang rondaan dijalankan, tidak ada didapati sebarang perkara yang mencurigakan.