Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif pelan strategik pendidikan diteruskan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kementerian Pendidikan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023-2027 dalam mendukung misi Kementerian Pendidikan bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti dan holistik untuk kehidupan pelajar yang bermatlamat.

    Pada masa yang sama, penglibatan secara berterusan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), para ibu bapa, penjaga dan masyarakat amat diperlukan dalam mendukung dan merealisasikan visi Kementerian Pendidikan iaitu Pendidikan Berkualiti, Negara Progresif.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluan di Sesi Muzakarah antara Kementerian Pendidikan bersama ahli-ahli MMN yang berlangsung di Bilik Persidangan, Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB), kelmarin.

    Seramai 14 orang ahli MMN yang diketuai Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman telah menghadiri permuzakarahan yang merupakan acara tahunan bagi Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Jabatan Perdana Menteri bersama kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkenaan.

    Turut hadir setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh telah menyampaikan ucapan balas.

    Sesi muzakarah telah diadakan dalam suasana silaturahim dan secara terbuka bagi perkongsian maklumat, cabaran dan cadangan yang bakal memberi manfaat kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya serta meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan kata alu-aluannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Suasana semasa sesi muzakarah yang diadakan di Bilik Persidangan, PTEB. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Suasana semasa sesi muzakarah yang diadakan di Bilik Persidangan, PTEB. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda