Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif pengusaha hotel hijaukan bumi Langkawi

    Oleh Hamdan Ismail

     

    LANGKAWI – Nama-nama ‘Moringa’, ‘Black Soldier’, ‘Mimosa’ atau ‘Heliconia’ mungkin tidak terdapat dalam senarai pekerja di Frangipani Langkawi Resort and Spa, tetapi ‘mereka’ telah ‘bekerja’ di sana sejak 13 tahun lepas.

    Ya, nama-nama itu adalah antara tumbuh-tumbuhan dan serangga yang menyumbang ke arah menjadikan pusat peranginan itu paling indah dengan kehijauan persekitarannya, serta membantu memenangi beberapa anugerah sejak dibuka pada 2005.

    Pemilik pusat peranginan empat bintang yang terletak di Pantai Tengah di Langkawi itu, Anthony Wong, 62, yang merupakan seorang naturalis dan pencinta alam sekitar adalah individu yang bertanggungjawab terhadap pelbagai inisiatif menghijaukan persekitaran di situ. Malah, beliau menganggap alam semula jadi sebagai ‘rakan perniagaan’ paling penting.

    “Kita perlu melindungi alam semula jadi, memahami dan mempelajari cara ia berfungsi dan bagaimana mengurusnya,” katanya kepada penulis ketika meninjau ladang organik dan kawasan tanah lembap buatan yang diwujudkan di salah satu sudut pusat peranginan itu.

    Frangipani Langkawi Resort memenangi anugerah Gold Award for Environment – Environmental Education Programme di Pameran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) 2018 yang berlangsung di sini pada 12 hingga 14 September baru-baru ini.

    Nurseri yang terdiri daripada papan kayu kitar semula dan ditutup dengan ranting adalah sebahagian daripada komponen untuk projek pertanian organik yang dimulakan oleh Frangipani Langkawi Resort and Spa. – Bernama
    Anthony Wong, pemilik Frangipani Langkawi Resort and Spa. – Bernama

    Landskap semula jadi

    Tanah lembap dan ladang organik yang diwujudkan oleh Wong terletak di satu plot setengah hektar di bahagian Selatan pusat peranginan itu.

    Tanah lembap yang dibina itu mungkin kelihatan biasa tetapi ia dibangunkan oleh Wong secara berperingkat-peringkat sejak 2005 untuk meniru keadaan sebenar tanah lembap semula jadi.

    Inspirasi untuk mewujudkan tanah lembap tiruan di kawasan pusat peranginan itu tercetus setelah sungai kecil di situ tidak mengalir seperti kebiasaannya menyebabkan airnya mula bertakung, berikutan beberapa pembangunan fizikal di sekitarnya. Malah, sungai itu berubah menjadi sebuah tasik yang dipenuhi air berwarna gelap.

    “Daripada mengeluh mengenainya, saya melakukan banyak eksperimen di tapak itu selama bertahun-tahun untuk mencari kaedah terbaik bagi mengurangkan impak akibat pembangunan sekitar dan akhirnya menjalankan projek tanah lembap ini,” kata Wong.

    Projek itu, katanya, melibatkan penanaman tumbuh-tumbuhan seperti mimosa air, pandan, keladi dan heliconia (sejenis pokok hiasan yang sering ditanam dihalaman) di seluruh kawasan tanah lembap itu kerana ia berfungsi sebagai penapis semula jadi yang berkesan untuk sisa air yang mengalir dari pusat peranginan ke dalam tasik itu.

    Dari masa ke masa, proses semula jadi itu berjaya merawat sisa air dan menjadikan air itu selamat digunakan.

    “Tidak ada rawatan kimia yang terlibat. Segalanya menggunakan kaedah biokejuruteraan dan pemahaman mengenai proses alam semula jadi,” kata Wong, sambil memberitahu bahawa air hujan juga dituai di pusat peranginan itu untuk menyiram tumbuh-tumbuhan dan dobi.

    Inisiatif luar imaginasi

    Bagi ladang organik di pusat peranginan ini, sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan terhad mengenai pertanian organik mungkin akan mendapati idea Wong membiak lalat agak sukar  diterima atau sesuatu yang di luar imaginasi.

    Hakikatnya, ia bukanlah larva sembarangan spesies sebaliknya lalat Black Soldier, secara ilmiah dikenali sebagai ‘Hermetia illusens’, yang mempunyai keupayaan menghasilkan larva yang hanya makan sisa makanan atau binatang mati.

    Tangki besar dan sumber semula jadi yang terbentuk antara bahan dalam penciptaan tanah lembap yang dibina di Frangipani Langkawi Resort and Spa. – Bernama
    Resort tersebut baru-baru ini telah memenangi Anugerah Emas Persatuan Perjalanan Pasifik-Asia (PATA) untuk Pendidikan Alam Sekitar.– Bernama

    Wong berkata larva berkenaan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penghasilan kompos, sejenis bahan organik reput yang digunakan sebagai baja untuk tumbuh-tumbuhan.

    Di sesetengah negara maju, cengkerang kosong yang ditinggalkan oleh larva spesies lalat itu digunakan sebagai makanan ayam atau dijadikan produk pembalut luka, manakala larva pula digunakan untuk membuat biodiesel atau dijadikan makanan untuk ikan ternakan.

    “Apabila ditugaskan untuk membersihkan sisa makanan, larva (Black Soldier) tidak akan dapat dikawal daripada berterusan memakan habis kesemua sisa makanan sehingga larva itu menjadi lalat dewasa,” jelas beliau. Tidak seperti lalat rumah, spesies lalat Black Soldier dewasa hidup hanya dengan minum air dan sehingga kini tidak diketahui jika menjadi pembawa sebarang penyakit.

    Menghijaukan Langkawi

    Usaha luar biasa Wong untuk mempromosi pelancongan mesra alam bukan sahaja terhad kepada aktiviti pertanian organik tetapi pelbagai usaha lain di sekitar pusat peranginan itu, antaranya kolam renang air masin dan hiasan dinding berwarna-warni yang diperbuat daripada botol-botol kaca, serta penanaman pokok ru dan pepohon kelapa yang melindungi pantai di sekitar hartanah itu.

    Beliau juga memulakan aktiviti untuk mengumpul sisa makanan dari beberapa hotel dan outlet makanan lain di sekitar Langkawi untuk diproses dan dijadikan kompos serta makanan ternakan. Inisiatif ini, yang sedang dipromosi melalui media sosial, mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.

    Semasa berikrar untuk terus berusaha mencari sebanyak mungkin kaedah  bagi meningkatkan amalan hijau di hotel itu, Wong juga berharap dapat membantu komuniti setempat, terutamanya golongan nelayan dan petani dalam mengusahakan pertanian organik.

    “Dengan mengamalkan pertanian organik, mereka dapat mengurangkan impak daripada pelbagai aktiviti terhadap alam sekitar. Mereka boleh turut serta dengan membekalkan produk-produk makanan (nilai tambah) dan mendapat pulangan daripada penglibatan mereka,” katanya.

    Bagi Wong, tidak ada apa yang boleh dianggap sebagai sisa. “Kesemuanya adalah sumber,” kata beliau.

    Semestinya, pelbagai usaha menghijaukan alam sekitar akan terus berkembang sebagai usaha membantu mengekalkan keadaan semula jadi Langkawi selama mungkin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda