Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Dalam memberikan peluang tambahan kepada mualaf untuk mempelajari semula dan menghalusi serta menguatkan asas dalam bacaan Al-Quran bagi memperbaiki bacaan mereka, Kelas Tamhid Mualaf anjuran bersama Belia Mualaf As-Syahadah, Pusat Dakwah Islamiah dan Nadi Quranic Learning Centre diadakan hari ini.
Kelas yang julung kalinya diadakan itu telah menaja 50 peserta yang terdiri daripada mualaf yang berumur 15 tahun ke atas.
Pelancaran Kelas Tamhid yang berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah itu dirasmikan oleh pemangku penolong pengarah pusat berkenaan, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

Pengarah Urusan Nadi Brunei, Dayang Sukmawati Dewi binti Masduki menjelaskan, jelasnya Tamhid ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat asas diikuti peringkat tajwid dan peringkat akhir iaitu talaki, yang mana kelas ini dilaksanakan seminggu sekali dengan bimbingan tenaga pengajar dari Nadi sendiri.
“Peserta kelas berkenaan akan mempelajari setiap modul satu persatu hingga mereka yakin membaca Al-Quran dengan betul, di mana modul pertama ini adalah asas-asas Tamhid.