Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Pembangunan rangkaian rel dan perkhidmatan kereta api telah dikemukakan semasa perjumpaan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia pada November lalu.
Dalam hubungan itu, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) mengambil maklum akan kajian kebolehlaksanaan yang akan dijalankan oleh Malaysia bagi membangunkan perkhidmatan kereta api di antara Sabah dan Sarawak di mana perkara itu perlu diberi penelitian lebih lanjut terlebih dahulu untuk melibatkannya dengan Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai tindakan MTIC mengintegrasikan inisiatif untuk menjadikan Brunei sebagai hab udara serantau dan membangunkan rel Trans-Borneo semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menerangkan bahawa cadangan-cadangan yang diterima oleh kementeriannya setakat ini belum lagi mengendalikan kajian kebolehlaksanaan.
Dalam pada itu, MTIC akan terus memantau dan bekerjasama dengan mana-mana pengusul mengenai perancangan khususnya dalam pembangunan sistem kesalinghubungan domestik dan rentas sempadan.

Dalam usaha merealisasikan visi untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) sebagai hab udara serantau, jelas Yang Berhormat Pengiran Dato, beberapa langkah strategik telah dan sedang dilaksanakan secara berterusan, antaranya mewujudkan dan memperkukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa melalui perjanjian-perjanjian dua hala dan pelbagai hala serta memperluaskan rangkaian laluan penerbangan.
Beliau menambah kementeriannya dan Jabatan Penerbangan Awam (JPA) terus berusaha untuk memperluaskan rangkaian sektor penerbangan bagi meningkatkan kesaling-hubungan udara bertujuan memudah cara dan meningkatkan pergerakan penumpang, barangan dan perkhidmatan secara efisien sekali gus menarik pelaburan, merangsang pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan dan perdagangan selaras dengan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
Di peringkat serantau, satu pencapaian penting telah dicatat iaitu pindaan protokol Memorandum Persefahaman (MoU) Perkhidmatan Udara BIMP EAGA di mana melalui protokol tersebut, beberapa destinasi baharu telah dibuka termasuk Makassar, Indonesia, Sandakan, Tawau dan Mulu, Malaysia serta Cagayan de Oro, Filipina. MoU berkenaan memberikan hak-hak udara yang lebih terbuka dengan memberikan hak kebebasan trafik kelima bagi destinasi-destinasi yang diperuntukkan kepada negara-negara BIMP EAGA.
Selaras dengan hasrat menjadikan Brunei sebagai hab penerbangan serantau, JPA menggalakkan syarikat-syarikat penerbangan untuk beroperasi di negara ini dengan mendapatkan Foreign Air Operating Certificate melalui insentif-insentif yang diberikan.