JAKARTA, 7 MEI – Kerajaan Indonesia melancarkan program perumahan bersubsidi di Bekasi, Jawa Barat bagi membantu kira-kira 70 peratus daripada 100,000 petugas media di negara itu yang bergelut mendapatkan kediaman mampu milik.
Inisiatif itu merupakan kerjasama antara kementerian kerajaan dan sektor swasta bagi mengiktiraf sumbangan wartawan dalam memelihara demokrasi dan ketelusan awam, menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Digital hari ini.
“Kita mengiktiraf bahawa wartawan yang telah mendedikasikan diri mereka kepada menegakkan kebenaran, juga berhak untuk menikmati kediaman yang selesa.
“Peranan kerajaan bukan sekadar menyelia, tetapi juga menjadi rakan yang prihatin terhadap kebajikan mereka,” kata Menteri Meutya Hafid, yang juga bekas wartawan ketika pelancaran program berkenaan.
Pada majlis itu, Meutya dan Menteri Perumahan dan Penempatan Maruarar Sirait secara simbolik menyerahkan kunci rumah bersubsidi kepada 78 wartawan dan lima petugas media di Perumahan Gran Harmoni di Cibitung, yang terletak lebih 40 kilometer dari pusat bandar Jakarta.
Majlis serupa turut diadakan di Medan, Palembang, Makassar, Manado dan Yogyakarta, dengan 10 wartawan di setiap lokasi menerima kunci rumah mereka.
Maruarar turut mengumumkan bahawa jumlah rumah bersubsidi untuk wartawan akan ditingkatkan daripada 1,000 kepada 2,000 unit, bergantung kepada permintaan. – Bernama
