Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif proaktif pendigitalan Sarawak kurangkan impak COVID-19

    KUCHING, 7 OKT – Sarawak bernasib baik kerana telah memulakan usaha transformasi digital tiga tahun lepas yang membolehkannya menguruskan kesan buruk pandemik COVID-19 dengan berkesan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata usaha itu, yang dilaksanakan dalam bentuk Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang dilancarkan pada Disember 2017, telah menyaksikan kemajuannya untuk mendigitalkan ekonomi negeri dan membantu menangani kebanyakan isu semasa pandemik berkenaan.

    “Seperti biasa dengan strategi apa pun, aspek tertentu seperti kedaulatan digital, saling kendali, kemudahan menjalankan perniagaan, keselamatan siber,  kesediaan digital dan menyokong transformasi digital sektor swasta dapat diperkukuhkan lagi bagi mempercepatkan Agenda Ekonomi pasca-COVID-19,” katanya.

    Bercakap pada perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antara-bangsa Sarawak (IDECS) ke-4 di sini hari ini, beliau berkata pandemik itu telah menyebabkan kesan ekonomi dan sosial yang amat buruk tetapi Sarawak telah mengatasinya dengan baik apabila menerapkan strategi ekonomi digitalnya.

    “Kesediaan digital kami baru-baru ini telah mendapat pengiktirafan apabila Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) mendapat

    Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia oleh Singapore Business Review kerana melaksanakan teknologi digital untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 di Sarawak,” katanya.

    Abang Johori berkata, COVID-19 akan mewujudkan kesan jangka panjang kekal terhadap bagaimana ekonomi dan sistem kewangan beroperasi pada masa akan datang, dengan semua negara tidak lagi dapat melakukan ‘perniagaan seperti biasa’. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda