Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Dalam usaha menangani isu tunggakan sewa rumah khususnya bagi golongan tertentu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB) telah melaksanakan beberapa inisiatif jangka panjang dan penambahbaikan menyeluruh.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.
Antara langkah yang diambil termasuk sistem pemantauan dan rekod teratur, pangkalan data penyewa diperbaharui dan dikemas kini, pemantauan terhadap permohonan yang lewat atau tidak disambung, Sistem Peringatan Automatik (Push SMS) dicadangkan melalui Sistem Kebajikan Negara (SKN), peringatan melalui SMS, e-mel atau notis berkala kepada penerima, kerjasama bersepadu bersama agensi berkaitan, libat urus bersama penghulu dan ketua kampung dalam penyaluran maklumat dan semakan permohonan, audit dan penilaian berkala serta menilai keberkesanan proses agihan dan memperbaiki prosedur dari semasa ke semasa.
Berhubung cadangan mewujudkan skim bantuan rumah sewa oleh pihak kerajaan, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak perlu, memandangkan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) boleh berperanan melalui Badan Tanmiah, namun keutamaan diberikan kepada pembinaan rumah milik untuk asnaf.
Sejak tahun 2009, sebanyak 125 buah rumah telah siap dibina, dan pada masa ini tiga buah rumah sedang dalam pembinaan melibatkan kos $236,231.30, 38 buah rumah dalam penilaian bersama JKR, dengan anggaran peruntukan $4.56 juta dan 13 buah rumah dalam proses sokongan lantikan kontraktor, melibatkan peruntukan $1.73 juta.


Sehingga 9 Julai, seramai 317 orang asnaf fakir miskin sedang aktif menerima agihan sewa rumah dengan anggaran perbelanjaan sebanyak $3.32 juta setahun.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @Lim Swee Ann, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan perkembangan positif keberkesanan SKN yang digunakan oleh JUZWAB.
Menurut statistik Purata Masa Penyelesaian Permohonan (TPOR) pada 2023: 294 hingga 295 hari, Julai hingga Disember 2024: 156 hingga157 hari dan Januari hingga Jun 2025: 54 hingga 55 hari sahaja.
Penurunan drastik ini hasil daripada beberapa penambahbaikan termasuk penapisan awal dokumen, penubuhan taskforce siasatan, penggunaan alat bantu seperti Kos Minima Keperluan Asasi (KMKA) dan Mesyuarat Adhoc Agihan (JKM).
Namun begitu, JUZWAB mengakui masih berdepan cabaran seperti lebih 2,300 permohonan berstatus inquiry disebabkan dokumen tidak lengkap, purata 556 permohonan sebulan, dengan jumlah pegawai yang terhad dan sistem IT yang masih belum automatik sepenuhnya.
Setakat 10 Julai, terdapat 5,951 permohonan belum selesai, termasuk 2,422 permohonan berstatus inquiry, lebih 2,000 lagi dalam pelbagai peringkat siasatan dan pengesahan.
Mengulas cadangan sesi terbuka bersama pemohon mengikut daerah dan mukim, Yang Berhormat Pehin menyambut baik cadangan tersebut dan memaklumkan bahawa JUZWAB telah mula melibatkan penghulu dan ketua kampung, namun sesi fizikal atau jelajah mukim secara berkala akan diperluaskan lagi bagi memberi penjelasan berhubung kriteria kelayakan, menyemak dan membantu dokumen tertunggak secara langsung dan memberi maklum balas terus kepada pemohon.

