Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif terbaik tangani masalah sosial

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Perusahaan Sosial merupakan salah satu inisiatif baharu yang sedang diketengahkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam usahanya untuk membantu golongan yang memerlukan bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.

    Bagi melaksanakan inisiatif tersebut Yayasan telah memberikan sokongan kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Brunei Start Up Weekend dengan mengadakan bengkel keusahawanan bertema StartUp Weekend Social Enterprise bermula Jumaat lalu hingga hari ini di Kompleks Yayasan, di sini.

    Melalui acara ini, Yayasan berharap dapat melahirkan jalinan kerjasama dengan lebih ramai usahawan sosial yang sedia ada, mahupun yang baharu serta orang ramai amnya bagi mengembangkan idea mengenai perusahaan sosial dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

    Misi utama perusahaan sosial adalah menyelesaikan masalah sosial dan alam sekitar melalui perniagaan yang boleh menghasilkan pendapatan untuk penyelesaian berlanjutan dan menyeluruh.

    Perniagaan yang dijalankan perlu memberi keuntungan tetapi keuntungan tersebut akan digunakan untuk melaksanakan misi yang diusahakan.

    Usahawan sosial merupakan individu yang mempunyai penyelesaian inovatif kepada masalah sosial yang sedang dihadapi oleh masyarakat sekeliling.

    Seorang usahawan sosial akan mengambil apa juga peluang dan kesempatan yang terbuka, yang mana tidak disedari oleh orang lain, untuk memperbaiki ekosistem masyarakat, mengilhamkan pendekatan dan juga memikirkan cara penyelesaian yang baharu untuk masyarakat sekelilingnya.

    Beberapa orang mentor dan juri yang mempunyai latar belakang keusahawanan juga terlibat dalam bengkel berkenaan.

    Para peserta secara aktif melibatkan diri semasa bengkel tersebut, yang diadakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda