Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Biro Mencegah Rasuah (BMR), Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyertai acara tahunan jaringan kerja, yang diadakan di Singapura, kelmarin.
Lebih 100 pegawai dari tiga buah agensi pencegahan rasuah tersebut terlibat dalam jaringan kerja melalui acara sukan rekreasi.
Acara yang dihoskan CPIB itu bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan lagi kerjasama serantau antara pegawai-pegawai dari tiga buah agensi dengan objektif sama iaitu mencegah dan membanteras rasuah.
Delegasi BMR diketuai Pengarah BMR, Datin Seri Paduka Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohamed yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala CPIB diketuai pengarahnya, Denis Tang dan SPRM diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamsun Baharin bin Mohd Jamil.
