Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Injap rosak, paip bocor punca gangguan bekalan air

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar Kampung Beribi, Jalan Bunga Jasmin, Jalan Pasar Gadong, kawasan komersial Mall Gadong, Maktab Duli PMAMB, Kampung Kiarong, Jalan Dato Ratna, Jalan Elia Fatimah, Kampung Kiulap, kawasan Komersial Kampung Kiulap dan kawasan sekitarnya adalah berpunca daripada kerosakan pada injap serta kebocoran paip yang menjejaskan operasi Tangki Beribi Lama 1.

    Perkembangan terkini berhubung gangguan air itu dikongsikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya hari ini.

    Bagi memastikan kesinambungan bekalan air ke kawasan terlibat, pihak jabatan telah mengambil tindakan segera dengan mengawal kemasukan air ke dalam tangki secara manual bagi menstabilkan paras air dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas.

    Pada masa yang sama, kerja-kerja flushing sedang giat dilaksanakan di beberapa lokasi bagi menstabilkan tekanan serta memastikan kualiti air dalam sistem agihan berada pada tahap yang memuaskan.

    Bekalan air kini beransur-ansur pulih dan kembali kepada operasi normal. Pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi memastikan sistem bekalan air kekal stabil dan beroperasi dengan baik.

    Pihak jabatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan ini.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut atau permohonan perkhidmatan tangki air, mereka boleh menghubungi Talian Darussalam 123.

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda