Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inkubator Al-Barakah Darul Huda dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Inkubator Al-Barakah Darul Huda yang merupakan salah satu usaha Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) untuk menjadikan Bahagian Pembangunan Mualaf melalui Unit Keupayaan Mualaf sebagai hab bagi para usahawan mualaf yang dikenal pasti telah dilancarkan, hari ini.

    Dengan adanya hab berkenaan yang disumbangkan BIBD, para usahawan mualaf kini berpeluang menghasilkan produk makanan masing-masing dan juga bagi kegunaan Program BIBD SEED.

    Pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, BIBD, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Mau’izhah, Bangunan Darul Huda PDI, Kampung Pulaie.

    Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis.

    Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan bantuan makanan asasi untuk 100 buah keluarga mualaf daif di seluruh negara yang akan diserahkan melalui unit dakwah setiap daerah. Haji Mohd Yusri dalam ucapannya berkata, inkubator berkenaan merupakan salah satu inisiatif PDI, KHEU ke arah memperkasa keupayaan saudara-saudara baharu terutama dalam penyediaan makanan dan minuman.

    Tetamu kehormat ketika melancarkan Inkubator Al-Barakah Darul Huda.

    “Saya melihat, ini adalah satu peluang keemasan kepada abiskita yang terlibat untuk mengasah serta menajami ilmu yang berhubung kait terutama dari segi tatacara penyediaan makanan dan minuman yang betul dan lebih sistematik.

    Menurut beliau lagi, walaupun terdapat pelbagai cabaran atau aral yang bakal melintang dalam perniagaan itu nanti, akan tetapi berkat ilmu yang bakal diterima serta sokongan keluarga dan pihak-pihak yang berkepentingan, segalanya akan dapat diharungi dengan jayanya.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada peserta mualaf yang mengikuti Projek Pembangunan dan Pemerkasaan Masyarakat melalui Program Masakan, kolaborasi antara Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE CET) dan rakan-rakan strategik yang disempurnakan oleh pengarah PDI.

    Kemudian, majlis menyaksikan tetamu kehormat melancarkan Cube Al-Qudwah sebelum pelancaran Inkubator Al-Barakah Darul Huda.

    Tetamu kehormat, para jemputan dan tetamu khas juga berkesempatan untuk menyaksikan demo masakan daripada para peserta projek.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda